BONGAWAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperkukuh usaha meringankan kos sara hidup rakyat melalui penganjuran Program Jualan Madani Kuskop (JMK), yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus semasa jualan Happy Hour.
Kementerian berkata harga lebih rendah yang ditawarkan berbanding pasaran bertujuan memastikan jaringan keselamatan sosial bagi komuniti di kawasan luar bandar dan bandar terus terpelihara.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Program JMK di Tapak Tamu Pekan Bongawan merupakan siri keempat dan dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin.
Dalam satu kenyataan, Kuskop berkata program itu merupakan penjenamaan semula daripada inisiatif JMK dan Usahawan sebelum ini serta sebahagian daripada langkah strategik kerajaan bagi menangani cabaran rantaian bekalan global yang mempengaruhi harga barangan keperluan tempatan.
Kementerian itu turut merancang siri jelajah JMK di seluruh Sabah dan Sarawak sepanjang tahun bagi memastikan manfaat program dapat dinikmati lebih ramai komuniti.
Edisi perayaan seterusnya akan diadakan sempena sambutan Gawai di Lawas pada 31 Mei diikuti edisi Krismas di Pensiangan pada 19 Disember.
Advertisement

Sementara itu, siri kelima jelajah terbabit dijadual diteruskan di Tapak Tamu Pekan Membakut pada 17 Mei bermula jam 8 pagi. Antara barangan keperluan yang ditawarkan pada harga lebih rendah ialah beras, telur, tepung gandum, minyak masak dan produk pencuci rumah.
Kuskop menambah bahawa JMK turut akan diintegrasikan dalam Program Jelajah Keusahawanan dan Koperasi melibatkan lokasi strategik seperti Beaufort, Libaran, Kalabakan dan Kimanis di Sabah, serta Petra Jaya, Sri Aman dan Sarikei di Sarawak.
Setiap lokasi dijangka memberi manfaat kepada antara 1,500 hingga 2,000 pengunjung, dengan operasi dikendalikan sepenuhnya oleh pengusaha koperasi dari Sabah dan Sarawak.
Kementerian berkata inisiatif itu bukan sahaja membantu orang ramai mendapatkan barangan pada harga berpatutan, malah memperkukuh peranan koperasi sebagai pengendali jualan yang berdaya saing dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran bekalan global, di samping menyokong agenda ekonomi Madani.