LAHAD DATU: Sebanyak 16 premis diperiksa dalam operasi bersepadu selama lima hari bagi memantau penjualan produk vape di daerah ini.
Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Daerah Lahad Datu dari 13 hingga 17 April.
Operasi terbabit memberi tumpuan kepada premis yang disyaki menjual produk vape tanpa kebenaran sewajarnya termasuk penjualan kepada individu bawah umur dibenarkan serta cecair yang dipercayai mengandungi bahan terlarang.
Sepanjang operasi, beberapa peranti vape dan cecair vape berperisa telah dirampas untuk siasatan lanjut.
Pada masa sama, pasukan penguatkuasa daripada KKM dan majlis daerah turut mengeluarkan kompaun kepada peniaga yang gagal mematuhi keperluan sedia ada.
Nasihat turut diberikan bagi kesalahan seperti gagal mempamerkan notis larangan penjualan kepada individu bawah 18 tahun, beroperasi tanpa lesen perniagaan sah serta keadaan premis yang tidak memenuhi piawaian kebersihan.
Advertisement

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan vape tanpa kebenaran digesa menghubungi BSJND di 089-881255, 016-8881066 atau 016-8730166 untuk tindakan lanjut.