Kota Kinabalu: Seorang wanita Filipina yang tular di media sosial sebagai ‘Rose’ ketika Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen di kawasan Hongkod Koisaan baru-baru ini adalah antara warga Filipina yang dijatuhi hukuman atas pelbagai kesalahan imigresen.
Rose Edroso Busico bersama beberapa rakan senegaranya dibawa ke Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Hurman Hussain bagi menghadapi pertuduhan masing-masing.
Rose didenda RM500 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar selepas mengaku bersalah melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara miliknya.
Mengikut pertuduhan dia sepatutnya bekerja sebagai pembantu rumah namun didapati bekerja sebagai pencuci di sebuah premis makanan dan minuman di Hongkod Koisaan, Penampang.
Kesalahan itu dilakukan pada 8 April lalu kira-kira jam 11.15 malam di Borneo Beer Garden & Food, Penampang.
Dia didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Advertisement

Sementara itu seorang lagi tertuduh Reign Liwagon Atillo dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana tinggal lebih masa di negeri ini.
Ketika ditahan di lokasi dan masa sama dengan Rose, Pas Lawatan Kerja Sementaranya didapati telah tamat tempoh pada 11 Mac 2023 menyebabkan dia tinggal lebih masa selama tiga tahun 28 hari.
Reign didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes berkaitan lapan lagi pendatang tanpa izin semuanya wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua mereka ditahan bersama Rose di lokasi dan masa sama selepas gagal mengemukakan dokumen sah kepada pegawai imigresen semasa operasi dijalankan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa kesemua warga Filipina terbabit ditahan dalam Ops Gegar yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen di premis berkenaan.
Semua mereka diarahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.
Bagi yang dijatuhi hukuman penjara mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Baxter Junior Goh.