Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun kerana menggunakan slip gaji palsu bagi membeli barangan elektrik secara ansuran.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Nikolaus Owin Yohanes Laba selepas dia mengaku bersalah menggunakan secara tidak jujur slip gaji atas namanya yang kononnya dikeluarkan oleh sebuah syarikat aksesori kenderaan walhal mengetahui dokumen itu adalah palsu.
Kesalahan itu dilakukan pada 3 Julai 2023, kira-kira jam 12.54 tengah hari di Kwang Woon Trading Sdn Bhd di Taman Indah Permai, Menggatal.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah membeli sebuah televisyen dan penghawa dingin secara ansuran dengan menggunakan slip gaji tersebut sebagai dokumen sokongan.
Barangan itu dihantar kepadanya pada hari yang sama.
Bagaimanapun keesokan harinya pihak syarikat mengesan bahawa slip gaji dan maklumat pekerjaan yang diberikan adalah meragukan.
Hasil semakan mendapati Nikolaus tidak pernah bekerja dengan syarikat yang tertera dalam dokumen berkenaan.
Usaha untuk mendapatkan semula barangan tersebut gagal apabila tertuduh tidak dapat dihubungi menyebabkan kerugian berjumlah RM6,568.
Siasatan lanjut mendapati Nikolaus telah mengemukakan slip gaji atas namanya sendiri yang kononnya dikeluarkan oleh syarikat aksesori kenderaan itu walaupun dia tidak pernah bekerja di situ bagi memudahkan pembelian televisyen dan penghawa dingin secara ansuran.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 32 tahun dipenjara lapan bulan kerana membantu menyembunyikan harta curi.
Jasmin Suaib mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana dengan sengaja membantu menyembunyikan sebiji tayar Proton Saga bersama rim 14 inci di kawasan semak tepi jalan di Kampung Likas pada 5 April lalu kira-kira jam 2 petang.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara serta denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu oleh Inspektor Yusdi Basri bahawa barangan tersebut sebelum ini dilaporkan hilang dari sebuah stor berkunci di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Likas pada 28 Mac.
Bertindak atas maklumat polis menahan Jasmin pada malam yang sama dan berjaya menemui semula barang curi yang disembunyikan di kawasan semak.
Siasatan mendapati tertuduh mengetahui bahawa barangan tersebut adalah harta curi namun tetap menyembunyikannya.