Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 28 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana menyimpan sebuah motosikal curi.
Mohd Hafieszul Mohd Adnin mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas kesalahan yang dilakukan pada jam 3.30 pagi, 16 Januari 2025 di hadapan sebuah premis 7-Eleven di Sinsuran.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kes Hafieszul pada awalnya ditetapkan untuk perbicaraan pada Selasa namun dia memaklumkan kepada mahkamah hasrat menukar pengakuan kepada bersalah.
Mahkamah diberitahu bahawa pada 13 Januari 2025 pengadu Mohd Anwar membuat laporan polis mengenai kehilangan motosikal milik bapa saudaranya yang diletakkan di ruang parkir motosikal Centre Point.
Sebelum kejadian pengadu memasuki kompleks membeli-belah dan secara tidak sengaja tercicir kunci motosikal bersama cukai jalan.
Advertisement

Siasatan mendapati Hafieszul menemui kunci dan cukai jalan tersebut lalu membawa motosikal berkenaan sebelum menukar nombor pendaftarannya.
Bertindak atas maklumat polis menahan Hafieszul dan menemui semula kunci serta cukai jalan di bilik sewanya di Sinsuran.
Tertuduh turut menunjukkan lokasi motosikal itu disembunyikan.
Dalam rayuan peguam bela Carmen Khoo memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh sudah berkahwin, mempunyai seorang anak, pernah bekerja dalam penyelenggaraan kenderaan serta menyesali perbuatannya.
Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan kerana Hafieszul kini sedang menjalani hukuman penjara lapan bulan bagi kes membantu melupuskan harta curi.
Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan bermula Selasa.
Sementara itu seorang wanita berusia 28 tahun didenda RM1,500 atau penjara sebulan kerana terlibat dalam kegiatan judi dalam talian di tempat awam.
Nur Asyillah Aida Ahmad mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 3 petang, 16 Disember 2025 di kaki lima Wisma Andi Fauzi, Kampung Likas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah dimaklumkan bahawa sepasukan polis menjalankan operasi di lokasi tersebut dan mendapati tertuduh dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan polis menahannya serta merampas sebuah telefon bimbit Redmi dan wang tunai RM95.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh menggunakan telefon berkenaan untuk menyertai aktiviti judi dalam talian dengan rekod aplikasi perjudian ditemui dalam peranti itu.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 52 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi.
Irwanzi Halok didakwa memiliki barangan curi iaitu sebuah beg galas hitam dan satu set kunci milik seorang individu bernama Khalid Haikal pada jam 11 malam, 16 April 2026 di sebuah bilik di Lorong Sentosa, Kampung Air.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 18 Jun untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membenarkan Irwanzi diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan.