SANDAKAN: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kesihatan serius susulan bencana kebakaran di Kampung Bahagia.
Beliau berkata persekitaran yang tidak memuaskan berpotensi menyebabkan penularan penyakit seperti penyakit kulit, malaria dan tuberkulosis jika tidak ditangani segera.
Katanya, beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat memantau keadaan itu selain menyalurkan bantuan segera termasuk sokongan perubatan serta program vaksinasi bagi mencegah penularan wabak.
“Selain bantuan makanan, terdapat keperluan mendesak untuk satu sistem sokongan yang lebih tersusun dan menyeluruh bagi memastikan keselamatan, kebersihan serta kesejahteraan mangsa terjamin,” katanya selepas melawat mangsa.
Beliau berkata kebakaran itu merupakan kejadian besar ketiga berlaku di kawasan berkenaan, sekali gus memburukkan lagi nasib komuniti terjejas.
Kampung Bahagia wujud sejak awal 1970-an dan pada ketika itu diiktiraf sebagai kawasan penempatan pelarian di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sebelum berkembang menjadi penempatan kediaman.
Advertisement

Shafie berkata walaupun kampung itu belum menjadi penempatan rasmi atau diwartakan, kebajikan penduduknya tetap menjadi keutamaan.