PENAMPANG: Peningkatan aktiviti tikus di kawasan perumahan dan komersial di sini menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam serta kebersihan persekitaran.
Ahli Majlis Perbandaran Penampang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Utiliti Awam, Richard Chong
(gambar) berkata beliau menerima banyak aduan daripada penduduk dan pengusaha perniagaan berhubung situasi itu.
Katanya, masalah berkenaan bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah berpotensi membawa risiko kesihatan serta mencerminkan kelemahan dalam pengurusan sisa dan tahap kebersihan persekitaran.
Beliau berkata pengendalian sisa makanan yang tidak sempurna, pembuangan sampah secara haram serta tahap sanitasi yang rendah antara faktor utama yang menyumbang kepada pembiakan tikus.
Menurutnya, Pegawai Kesihatan Majlis, Bainis Lutot kini melaksanakan langkah kawalan bersasar, termasuk penggunaan racun tikus di lokasi yang dikenal pasti sebagai tempat pembiakan dan persembunyian.
Bagaimanapun, Chong menegaskan langkah penguatkuasaan dan kawalan sahaja tidak mencukupi untuk menangani masalah itu secara menyeluruh.
Beliau menggesa pemilik rumah mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan premis masing-masing serta kawasan sekitarnya. Katanya, langkah pencegahan termasuk pelupusan sisa yang betul, mengelakkan pengumpulan sisa makanan serta menghapuskan lokasi berpotensi menjadi sarang tikus.
Penduduk dan pengusaha perniagaan turut dinasihatkan memastikan sisa dibuang dengan sempurna, tidak melakukan pembuangan haram, mengekalkan persekitaran bersih serta melaporkan infestasi serius kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata kerjasama bersepadu antara pihak berkuasa dan komuniti amat diperlukan bagi menangani isu tersebut secara berkesan, sambil menambah pemantauan akan diteruskan seiring usaha mencari penyelesaian jangka panjang.