Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu sebanyak 15 telefon bimbit bersama kad sim telah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Komputer untuk dianalisis berkaitan kes Zara Qairina Mahathir pada Khamis.
Penganalisis unit berkenaan ASP Mohd Zaidi Abu Hassan, 44, berkata beliau menerima dua penyerahan bahan bukti untuk dianalisis pada tarikh berbeza iaitu pada 8 Ogos 2025 dan 19 Ogos 2025 daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.
Bagi penyerahan pertama pada 8 Ogos 2025, beliau menerima satu beg plastik lutsinar iaitu beg bahan bukti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengandungi 11 telefon bimbit bersama kad sim daripada seorang sarjan.
Manakala empat lagi telefon bimbit bersama kad sim juga dalam beg lutsinar PDRM diserahkan oleh seorang lagi sarjan pada 19 Ogos 2025.
“Saya mendapati semua bahan bukti berada dalam keadaan baik,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi selama lebih sejam di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi ke-70 itu turut memaklumkan mahkamah bahawa daripada 15 telefon bimbit tersebut sebahagiannya tidak dapat diperiksa kerana tidak dapat dihidupkan walaupun selepas dicas akibat kerosakan pada butang kuasa serta skrin LCD.
Namun kad sim masih berjaya diperiksa sebagai rujukan pegawai penyiasat.
Menurut Mohd Zaidi semua bahan bukti disertakan bersama Borang Permohonan Pemeriksaan/Analisis Bahan Bukti (MF01), Sijil Serah Terima Dalaman serta Akuan Penerimaan Bahan Bukti (MF02).
“Berdasarkan borang MF01, pegawai penyiasat memohon agar semua telefon bimbit diperiksa dan dianalisis bagi mendapatkan data media sosial, visual WhatsApp, kandungan verbatim, imej serta imej yang telah dipadam bermula Februari 2025 hingga kini,” katanya.
Beliau berkata analisis dilakukan menggunakan peralatan forensik mudah alih XRY.
“Sebelum analisis dijalankan saya memastikan bahan bukti berada dalam keadaan baik. Saya kemudian menyambungkan kabel kepada peranti dan memulakan proses analisis.
“Proses ini dijalankan mengikut piawaian ISO 17025 dan Institut Piawaian dan Teknologi Kebangsaan (NIST).
“Selepas analisis selesai dapatan ditukar kepada format PDF menggunakan komputer pejabat yang hanya saya mempunyai akses,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bagi penyerahan pertama pada 8 Ogos 2025 bahan bukti bersama laporan dipulangkan pada 19 Ogos 2025 kira-kira jam 9 pagi.
Manakala bagi penyerahan kedua bertarikh 19 Ogos 2025 bahan bukti tersebut dipulangkan bersama laporan pada 2 September 2025 sekitar jam 9.53 pagi.