KOTA KINABALU: Di sebalik ketidaktentuan global yang menjejaskan industri pelancongan, Sabah terus menonjol sebagai antara destinasi paling unik dan menarik di Malaysia, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KePKAS), Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata dalam landskap global semasa yang berdepan pelbagai cabaran luaran, kepelbagaian budaya Sabah, keindahan alam semula jadi serta layanan mesra penduduk menawarkan pengalaman yang sukar ditandingi.
Menurutnya, acara seperti Pameran Matta Sabah memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negeri, khususnya ketika destinasi di seluruh dunia bersaing untuk menarik pelancong.
“Ia menyediakan platform penting untuk pemain industri berhubung, bekerjasama dan mempromosikan pelbagai tawaran pelancongan.
“Walaupun berdepan ketidaktentuan global, adalah menggalakkan melihat ketahanan dan keupayaan penyesuaian pemain industri pelancongan Sabah yang terus berinovasi dan bergerak ke hadapan dengan yakin.
“Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, inisiatif seperti Pameran Matta Sabah adalah tepat pada masanya dan strategik.
“Ia bukan sahaja merangsang permintaan pelancongan tetapi juga mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Matta Sabah selama tiga hari, pada Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini. Dalam pada itu, Jafry menegaskan pelancongan mampan dan bertanggungjawab perlu terus diberi keutamaan selaras dengan trend global.
“Ketika kita menerima lebih ramai pelawat, ia tanggungjawab bersama kita untuk memelihara alam sekitar, melindungi warisan budaya serta memperkasa komuniti tempatan, khususnya melalui inisiatif pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pelawat meneroka pelbagai pilihan pelancongan yang ditawarkan di Sabah serta terus menyokong industri tempatan dengan menikmati keindahan, kepelbagaian dan keaslian negeri ini.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Joniston Bangkuai, Setiausaha Tetap KePKAS Josie Lai, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Nigel Wong serta Pengerusi Penganjur Matta Sabah Mohd Azlan Saleh Mohd Salam.