Kota Kinabalu: Pasukan guaman yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan memanggil 11 saksi terdiri daripada enam pakar dan ahli keluarga Zara untuk memberi keterangan dalam prosiding inkues.
Peguam Datuk Rizwandean M Borhan yang mewakili pasukannya memaklumkan perkara itu kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan selepas prosiding ditangguhkan pada petang Jumaat.
“Kami mempunyai saksi terdiri daripada enam pakar iaitu Pemeriksa Dokumen Dr Linthini Gannetion, pakar tulisan tangan dan dokumen Dr Tay Eue Kam serta Dr Dzulkiflee Ismail, Saintis Forensik Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa, Pakar Psikologi Kanak-Kanak Dr Noor Aishah Rosli dan Pakar Psikiatri Dr Wong Haw Huo.
Saksi lain ialah ahli keluarga Zara termasuk ibunya, bapa saudara, sepupu serta seorang lagi pelajar sekolah,” katanya.
Rizwandean turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu laporan pakar telah diserahkan kepada semua pihak manakala laporan selebihnya akan diserahkan selewat-lewatnya minggu hadapan.
Dalam prosiding sama Amir meminta peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili bapa Zara Mahathir Mohd Hashim mengesahkan sama ada anak guamnya akan dipanggil sebagai saksi.
“Bapa Zara sepatutnya dipanggil sebagai saksi dan hadir ke mahkamah walaupun beliau memilih untuk berdiam diri.
“Kebimbangan saya ialah kemungkinan ada saksi yang perlu dipanggil semula,” katanya.
Nurul kemudian memaklumkan bahawa pihaknya akan berbincang dengan anak guamnya berhubung perkara tersebut.
Sementara itu pasukan pegawai pengendali turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka juga mempunyai seorang saksi berkaitan keterangan mengenai perwatakan Zara.
Pasukan itu menjelaskan bahawa saksi berkenaan tidak disenaraikan sebelum ini kerana terdapat arahan untuk tidak memanggilnya.
Bagaimanapun sekiranya pasukan guaman ibu Zara membangkitkan isu perwatakan, pihak pegawai pengendali mungkin akan memanggil saksi mereka iaitu kakak tiri Zara.