Sun, 19 Apr 2026
Headlines:
Sabah lancar tiga inisiatif utama lindungi penyu
Published on: Thursday, April 16, 2026
Published on: Thu, Apr 16, 2026
Text Size:
Text:
Sabah lancar tiga inisiatif utama lindungi penyu
Kota Kinabalu: Sabah melancarkan tiga inisiatif utama iaitu kempen perubahan tingkah laku menentang penggunaan telur penyu, Pelan Tindakan Penyu Laut Baharu serta prosedur operasi standard (SOP) pusat penetasan yang dikemas kini bagi melindungi hidupan marin berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin (gambar) berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kukuh Sabah terhadap pemuliharaan penyu serta pembangunan pelancongan mampan.

Advertisement
“Ini merupakan satu pencapaian penting bagi Sabah apabila kita melancarkan tiga inisiatif utama yang mencerminkan komitmen berterusan terhadap pemuliharaan penyu dan pelancongan lestari.

“Kami berharap inisiatif ini dapat membimbing usaha bersama dalam melindungi warisan marin berharga dan memastikan masa depan mampan untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan rasmi Pelan Tindakan Penyu Laut Sabah 2025 hingga 2030 iaitu satu kerangka strategik jangka panjang yang dibangunkan melalui kerjasama agensi kerajaan, institusi akademik serta rakan pemuliharaan termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan WWF-Malaysia.

Sabah diiktiraf sebagai antara kawasan pendaratan penyu terpenting di rantau ini sekali gus menjadikan usaha melindungi populasi penyu sebagai aspek penting dari sudut ekologi dan ekonomi khususnya bagi sektor ekopelancongan negeri.

Advertisement
“Pemuliharaan bukan hanya tentang penguatkuasaan tetapi juga tanggungjawab, kesedaran dan tindakan kolektif.

“Pelan tindakan ini berfungsi sebagai panduan komprehensif kepada semua pihak berkepentingan dengan menggariskan keutamaan jelas serta usaha bersepadu bagi melindungi penyu secara berkesan,” katanya.

Advertisement
Di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, tiga spesies penyu iaitu penyu hijau, penyu karah dan penyu lipas diklasifikasikan sebagai spesies dilindungi sepenuhnya di Sabah.

Kesalahan melibatkan spesies berkenaan boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta hukuman penjara satu hingga lima tahun.

Walaupun perlindungan undang-undang sedia ada namun permintaan terhadap telur penyu terus menjadi ancaman utama dengan aktiviti penyeludupan dari negara jiran kekal sebagai cabaran, didorong oleh permintaan pasaran tempatan.

Kajian asas yang dijalankan UMS berpandukan garis panduan Strategi Pengurangan Permintaan Cites membantu membentuk pendekatan kempen berasaskan sains tingkah laku.

Jafry menggesa semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan dan penyumbang untuk menjadikan pelan tindakan itu sebagai rujukan serta menyumbang secara aktif bagi mencapai matlamatnya.

Beliau turut meminta pejabat daerah, majlis perbandaran dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agar membantu menyampaikan mesej kepada orang ramai selain menekankan peranan penting media.

“Saya berharap seruan kerajaan ini disambut baik oleh masyarakat.

“Dengan mengurangkan permintaan, kita dapat menghentikan penyeludupan telur penyu, melindungi biodiversiti marin serta mengukuhkan imej Sabah sebagai destinasi utama ekopelancongan. 

“Ini juga menyumbang kepada usaha lebih luas dalam menangani aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Mengenai SOP baharu pusat penetasan beliau berkata garis panduan itu berasaskan pendekatan saintifik bagi memastikan program penetasan diurus secara bertanggungjawab dan berkesan.

“Dengan mengamalkan amalan terbaik, kita bukan sahaja memperkukuh hasil pemuliharaan malah meningkatkan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan mampan.

“Pusat penetasan yang diurus baik serta interaksi hidupan liar secara bertanggungjawab akan memberikan pengalaman bermakna kepada pelawat sambil memelihara warisan semula jadi,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here