Kota Kinabalu: Hanya empat hari selepas meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala Cabaran MFL, Sabah FC berdepan kekalahan liga mengecewakan di tangan Melaka FC, tewas 0-1 di Stadium Hang Jebat pada Khamis.
Walaupun kehilangan beberapa pemain utama termasuk kapten Domimic Tan dan Darren Lok dalam kesebelasan utama, Sabah FC bermula dengan baik dan mencipta beberapa peluang keemasan pada separuh masa pertama.
Ernesto Amantegui mempunyai peluang baik pada minit ke-10 apabila berjaya menembusi benteng pertahanan, hanya dikecewakan oleh rembatan lemah kaki kanann, yang gagal menguji penjaga gol Melaka FC, Samuel Somervilee.
Satu lagi peluang diperolehi Chris Marlon Ondong Mba pada minit ke-33, dan sekali lagi Somerville pantas merebahkan badan untuk menghalang rembatannya.
Sabah FC mengekalkan momentum mereka dengan pendekatan agresif pada separuh masa kedua, nyaris mendahului pada minit ke-65 apabila rembatan kencang daripada pemain gantian Fergus Tierny menggegarkan tiang.
Ia terbukti menjadi satu kesilapan yang mahal kerana tiga minit kemudian, pasukan tuan rumah mencipta gol kemenangan apabila Damien Lim yang sebelumnya beraksi baik menyelamatkan beberapa percubaan, membenarkan rembatan Dino Kalesic melepasi kakinya pada minit ke-68.
Advertisement

Sabah FC terus mengasak selepas ketinggalan tetapi gagal menemui sasaran sehingga wisel penamat.
Kekalahan itu turut mengakibatkan Sabah FC jatuh satu anak tangga ke tangga ke-11 dengan 16 mata daripada tiga kemenangan, tujuh seri dan 10 kekalahan.
Hanya tinggal empat perlawanan dalam baki saingan musim ini. Mereka seterusnya akan menentang Penang FC di tempat lawan pada Ahad (26 April) diikuti dengan perlawanan di tempat sendiri menentang PDRM pada 2 Mei di tempat lawan menentang Brunei DPMM pada 9 Mei, sebelum perlawanan terakhir di tempat sendiri menentang Terengganu FC pada 15 Mei.