KUNAK: Keputusan kerajaan mengekalkan subsidi diesel memberi kelegaan besar buat komuniti nelayan di Kunak yang kini dapat meneruskan operasi harian tanpa tekanan kos bahan api yang tinggi.
Keputusan berkenaan juga dilihat sebagai mekanisme dalam memastikan kelangsungan operasi dan aktiviti industri perikanan.
Advertisement
_E.jpg)
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Seri Anil Sandhu berkata subsidi diesel wajar dikekalkan kerana bahan api terbabit merupakan satu keperluan dalam industri terbabit.
“Langkah itu bukan sahaja relevan di Sabah malah wajar diperluaskan ke seluruh negara melibatkan semua komuniti nelayan.
“Mana-mana kawasan yang ada nelayan, subsidi harus dikekalkan. Kos hidup mereka terlalu tinggi.
“Jika harga minyak naik, pengguna yang lain juga akan merasai kesannya. Jadi kita perlu mencari kaedah terbaik supaya subsidi ini sampai secara bersasar dan kebajikan nelayan terus terpelihara tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau yang diadakan di PDM Kampung Pangkalan baru-baru ini.
Advertisement

Turut hadir Pegawai Daerah Kunak Majaran Osman, kakitangan UPPM dan masyarakat sekitar.
Mengulas lanjut beliau berkata komuniti nelayan di daerah berkenaan mezahirkan rasa syukur apabila harga diesel kekal stabil pada sekitar RM2.15 seliter sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap kenaikan kos sara hidup dan operasi menangkap ikan.
Sementara itu seorang nelayan tempatan Mansur Omar berkata sebagai komuniti nelayan dirinya bersyukur kerana kerajaan masih dapat mengekalkan harga diesel lebih RM2 seliter.
“Sebelum ini kami sangat risau kerana mendapat maklumat tentang kenaikan minyak antarabangsa.
“Syukur sekarang kami dapat meneruskan aktiviti menangkap ikan seperti biasa dengan tenang,” katanya.
Terdahulu walaupun berlaku konflik di Asia Barat sehingga menjejaskan harga bahan api utama dunia namun subsidi diesel yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan dapat meringankan beban komuniti nelayan.
Dalam menghadapi ketidaktentuan harga bahan api ketika ini komuniti nelayan juga masih melihat keperluan diesel dan petrol sentiasa berubah-ubah berdasarkan jarak operasi perjalanan mereka ketika berada di laut melibatkan bot kecil dan vesel nelayan laut dalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Mac lalu berkata Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga diesel meningkat di pasaran global.