Kota Kinabalu: Dasar pintu terbuka Umno Sabah terpakai kepada bekas ahli, termasuk Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang pernah dipecat, digantung keahlian atau meninggalkan parti.
Pengerusinya Datuk Jafry Ariffin berkata dasar tersebut berkait dengan konsep “Rumah Bangsa” yang membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai Umno.
“Umno Sabah juga tidak terkecuali dan bersetuju dengan inisiatif ‘Rumah Bangsa’ untuk membuka pintu kembali kepada ahlinya sama ada yang digantung ataupun meninggalkan parti.
“Secara jujurnya kami di Umno Sabah memang terbuka, cuma mereka perlu mengemukakan permohonan,” katanya selepas Majlis Iftar Ramadan Umno Sabah, di sini, Khamis.
Menurut Jafry, permohonan untuk menyertai semula parti perlu melalui prosedur ditetapkan, termasuk penelitian oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Perkara ini tidak akan menjadi realiti jika hanya satu pihak sahaja yang bertindak. Ahli yang digantung perlu mengemukakan permohonan menyatakan hasrat untuk kembali dan barulah kita akan memprosesnya. Itulah prosedurnya,” katanya.
Beliau berkata dasar pintu terbuka itu melibatkan pemimpin seperti Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang sebelum ini dikaitkan dengan isu keahlian parti.
Dalam pada itu, Jafry berkata suasana politik di Sabah ketika ini kekal stabil dan langkah membuka semula pintu parti bukan kerana wujudnya krisis, sebaliknya bertujuan memperkukuh perpaduan serta keterangkuman dalam parti.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh sentimen pengundi pada pilihan raya negeri lalu yang menurutnya menunjukkan penolakan terhadap parti yang dilihat sebagai “luar” atau dari Semenanjung, dengan tumpuan lebih kepada manfaat masa depan berbanding pencapaian lampau.
“Masa sudah berubah dan begitu juga cabarannya. Umno Sabah perlu menunjukkan keupayaan serta kebijaksanaan politik yang baharu bagi meyakinkan rakyat bahawa parti ini masih yang terbaik untuk berkhidmat untuk masa depan Sabah,” katanya.