TAWAU: Seramai 20 peniaga dan 1,000 pengunjung bazar Ramadan di daerah ini menerima manfaat hasil pelaksanaan inisiatif pemberian kredit e-wallet oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Rina Jainal berkata program itu bertujuan menggalakkan aktiviti ekonomi sepanjang Ramadan dengan memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Advertisement

“Inisiatif tersebut dilaksanakan susulan aduan daripada peniaga yang memaklumkan bahawa walaupun jumlah pengunjung ke bazar Ramadan ramai namun kadar pembelian masih kurang.
“Kita berharap inisiatif seperti ini mampu merangsang pengunjung untuk membuat pembelian sekaligus membantu peniaga tempatan meningkatkan jualan mereka,”katanya.
Rina berkata demikian selepas sesi walkabout di tapak Bazar Ramadan Sabindo sempena program Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dan program ihsan food bank 2026 KPDN Cawangan Tawau pada Sabtu.
Menurutnya menerusi program itu 1,000 pengunjung disasarkan menerima RM20 kredit e-wallet Touch ‘n Go yang boleh digunakan untuk membeli pelbagai juadah di bazar Ramadan manakala 20 orang peniaga menerima RM100 kredit e-wallet sebagai sokongan kepada perniagaan mereka sepanjang bulan Ramadan.
Sementara itu Ketua Cawangan KPDN Tawau Mohammad Roli Aliman memberitahu program MySaveFood yang dilaksanakan adalah bagi mengumpul lebihan makanan yang masih selamat dimakan daripada peniaga bazar.
Katanya program itu membabitkan sukarelawan daripada Kolej Komuniti Tawau sebagai rakan strategik untuk mengumpul dan mengagihkan makanan yang akan diagihkan kepada golongan asnaf serta kurang berkemampuan.
Menyentuh tahap pematuhan peniaga bazar tahun ini pula beliau berkata mereka memahami tanggungjawab dengan meletakkan tanda harga yang jelas pada setiap item yang dijual.
Katanya pasukan penguatkuasa KPDN menjalankan Ops Pantau setiap hari sepanjang Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta penggunaan alat timbang yang ditentusahkan.
“Sepanjang tempoh pemantauan setakat ini tiada kes pelanggaran direkodkan sekaligus menunjukkan tahap kesedaran dan pematuhan yang positif dalam kalangan peniaga di daerah ini,”katanya.