Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 42 tahun dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengintai anak saudaranya yang masih remaja ketika gadis itu sedang mandi.
Lelaki yang tidak bekerja itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan mencabul kehormatan gadis berusia 17 tahun itu dengan mengintainya ketika mangsa sedang mandi di bilik air sebuah rumah di sini pada 6 Febuari kira-kira jam 11.30 pagi, dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa mangsa sedang mandi ketika penutup siling bilik air itu tiba-tiba jatuh ke lantai bersama sebuah telefon bimbit.
Apabila mangsa memandang ke atas, dia ternampak lelaki terbabit yang juga bapa saudaranya berada di bahagian siling dan mengesyaki bahawa lelaki itu mengintainya.
Menyedari dirinya telah dilihat, lelaki itu kemudian bersembunyi di bahagian atas siling.
Terkejut dengan kejadian itu, mangsa segera mengambil tuala untuk menutup tubuhnya sebelum berlari keluar dari bilik air dan mengunci dirinya di dalam sebuah bilik.
Dalam keadaan ketakutan, mangsa menghubungi bapanya dan memaklumkan kejadian yang berlaku sebelum membuat laporan polis.
Lelaki itu kemudian ditahan polis pada 27 Febuari selepas pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian terbabit.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan semasa kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan, dengan menekankan tentang keseriusan kesalahan itu, hakikat bahawa mangsa masih kanak-kanak serta kesan psikologi yang dialaminya.
Beliau juga berhujah bahawa lelaki itu menggunakan telefon bimbit semasa melakukan perbuatan terbabit dan kes itu melibatkan kepentingan awam.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki didenda RM2,600 atau sembilan bulan penjara kerana memiliki syabu.
Jazid Shah mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sini pada Julai tahun lalu.
Memiliki syabu boleh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.