SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Leila, Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, warga tempatan berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang sedang membuat pusingan-U di lampu isyarat Jalan Leila.
Pemandu 4WD berusia 31 tahun itu bersama dua penumpangnya tidak cedera dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, berkata pemandu kenderaan berkenaan ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut, sementara mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sandakan untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua kenderaan terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut, termasuk ujian oleh Puspakom dan Jabatan Kimia.
Sehubungan itu, George menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati semasa menggunakan jalan raya dengan mematuhi had laju, papan tanda serta lampu isyarat.