KUNAK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna melaksanakan Ops Pantau 2026 bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Daerah Kunak di bazar Ramadan Kunak bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan serta peraturan kesihatan makanan sepanjang bulan puasa ini.
Sebanyak 33 premis diperiksa oleh KPDN dan pemeriksaan mendapati kesemua peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.
Ketua Cawangan KPDN Semporna Satunlucy Lamioh@Lamidah berkata dalam operasi sama, KKM mengeluarkan satu kompaun RM200 di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 atas kesalahan ketidakpatuhan aspek kebersihan makanan.
Sementara itu, Majlis Daerah Kunak juga melaksanakan pemeriksaan ke atas 33 premis termasuk semakan lesen operasi dan kad kesihatan pengendali makanan.
Beliau menegaskan operasi pemantauan akan terus dipergiatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kepentingan pengguna.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KPDN iaitu WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886 800, emel eaduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 / 03-8882 6245.