Kota Kinabalu: Seorang lelaki tanpa pekerjaan dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun dan diperintahkan menerima sebatan kerana melakukan gangguan seksual fizikal terhadap sepupunya.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki berusia 23 tahun yang mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut pada Rabu.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penjara selama setahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara.
Lelaki terbabit melakukan kesalahan itu terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun sembilan bulan berkenaan dengan membelai dan menghisap payudaranya pada jam 3.30 pagi, 23 Februari tahun ini di sebuah rumah di Papar.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam menjatuhkan hukuman mahkamah menyatakan ia mengambil kira kepentingan awam, keseriusan kesalahan serta kesan terhadap mangsa yang mengalami trauma akibat insiden tersebut yang berlaku pada bulan Ramadan.
Mahkamah menambah bahawa hukuman berkenaan dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum bagi menangkis kesalahan seumpama itu yang semakin berleluasa.
Semasa rayuan meringankan hukuman lelaki yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman ringan dengan alasan menanggung ibunya yang seorang diri dan adik yang masih bersekolah.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi pengajaran kerana kesalahan itu serius dan mangsa merupakan sepupu pertama tertuduh memandangkan ibu mereka adik-beradik.
Bryan berhujah bahawa hukuman yang memberi pengajaran perlu dijatuhkan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai keseriusan kesalahan itu.
Mahkamah turut diberitahu bahawa pada hari kejadian tertuduh memasuki bilik mangsa dan melakukan gangguan seksual.
Selepas serangan tertuduh mengugut mangsa supaya tidak mendedahkan insiden itu kepada sesiapa dan cuba menghalangnya keluar dari bilik kerana bimbang mangsa akan memberitahu ibunya.
Namun pada hari sama mangsa mendedahkan kejadian itu kepada ibunya yang kemudian membawa mangsa membuat laporan polis terhadap tertuduh.