KIULU: Pemilik sebuah restoran di Kampung Rangalau Lama, Jalan Tamparuli-Kiulu menafikan dakwaan dalam laporan Daily Express pada 26 Februari lalu bahawa premisnya beroperasi secara haram.
Janius Lapai, 71, berkata restoran di tepi jalan itu dikongsi tiga penama lain dan memiliki lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kiulu.
“Premis ini beroperasi sejak Ogos 2025 dan perniagaan kami dijalankan di kawasan tanah rizab jalan yang dibenarkan untuk aktiviti ekonomi komuniti kecil, selaras amalan pengoperasian gerai jualan di sepanjang jalan utama di Sabah.
“Dakwaan pengadu adalah tidak tepat dan kawasan perniagaan kami juga tidak mencerobohi hak milik tanah persendiriannya yang terletak bersebelahan,” kata Janius.
Beliau turut menafikan dakwaan mengenai sisa buangan tidak terurus dan bau busuk, dengan menyatakan premis itu mengamalkan prosedur pengurusan sisa mengikut piawaian ditetapkan termasuk penggunaan perangkap minyak iaitu keperluan wajib bagi setiap premis makanan.
“Sehingga kini, tiada sebarang aduan rasmi diterima daripada penduduk sekitar mengenai isu-isu yang didakwa oleh pengadu. Operasi perniagaan kami berjalan seperti biasa dengan sokongan penuh komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, penduduk Moroh Biging, mendakwa pengadu sebelum ini, menutup satu-satunya laluan masuk ke kampung berkenaan yang menjejaskan kira-kira 700 penduduk di sana.
Moroh berkata penduduk kampung memahami laluan masuk ke kampung mereka adalah kawasan tanah milik pengadu namun penduduk sudah menggunakan laluan terbabit sejak dihuni pada 1940an.
“Laluan itu sudah digunakan sejak awal pembukaan kampung. Di kawasan kampung ini, terdapat sekolah rendah, gereja serta surau.
“Guru-guru juga menggunakan laluan itu namun apabila ia ditutup, semua termasuk warga sekolah perlu menggunakan jalan alternatif lain yang lebih jauh,” katanya.
Moroh berkata rayuan kepada pemilik tanah untuk mendapatkan akses berterusan tidak berjaya dan petisyen yang dikemukakan kepada pihak berkuasa bagi memohon laluan dibuka semula serta notis penutupan ditarik balik masih belum mendapat sebarang tindakan.
Penduduk juga mendakwa pengadu telah membina penghadang konkrit bagi menghalang akses tempat letak kereta ke restoran berkenaan.
Mereka berkata Jabatan Kerja Raya telah mengeluarkan arahan supaya halangan itu dialihkan namun pengadu tidak mematuhinya sehingga mendorong pengusaha restoran bertindak mengalihkannya sendiri.