Sat, 4 Apr 2026
Headlines:
Penutupan jambatan sebabkan kesesakan jalan di Tamparuli
Published on: Saturday, February 28, 2026
Published on: Sat, Feb 28, 2026
By: R Gonzales
Text Size:
Text:
Penutupan jambatan sebabkan kesesakan jalan di Tamparuli
SELEPAS penutupan Jambatan LLC Tamparuli Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Pekan Tamparuli menjadi sesak setiap hari.
TAMPARULI: Ratusan kenderaan saban hari terpaksa mengalami kesesakan di Jalan Tamparuli-Ranau, berhampiran Pekan Tamparuli, di sini, susulan penutupan Jambatan Low Level Crossing (LLC) Tamparuli sejak 6 Jan.

Tinjauan Harian Ekspres mendapati, jambatan itu, yang menghubungkan kawasan luar dan Pekan Tamparuli, ditutup selepas mendapan struktur jambatan itu dikesan.

Advertisement
Situasi berkenaan dipercayai faktor utama pengguna jalan berasa kesal apabila berdepan kelewatan urusan setiap kali menggunakan laluan utama itu ke destinasi masing-masing.

Seorang penjawat swasta, Ronny Taimin, 42, berkata, dia merupakan antara pengguna yang melalui laluan berkenaan dan mendakwa kesesakan berlaku setiap hari.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Sebelum ini, kebiasaannya saya memulakan perjalanan jam 5.30 pagi dari Tamparuli menuju KKIP dan akan tiba sekitar jam 7 pagi di tempat kerja. Namun, sekarang saya perlu bergerak lebih awal iaitu jam 5 pagi dan akan tiba jam 7.30 kemudian,” katanya.

Jelasnya, jarak dari rumah ke tempat kerjanya adalah 17 kilometer dan hanya mengambil masa perjalanan lebih kurang 20 hingga 25 minit.

Advertisement
“Tapi sejak jambatan itu ditutup, kesesakan berlaku dari Kampung Dopu hingga simpang Kauluan yang kadang-kadang mengambil masa sejam lebih untuk melaluinya walaupun hanya dua kilometer,” katanya.

Penutupan Jambatan LLC Tamparuli. Seorang peniaga, Hashimah Bahab, 45, berkata, kesesakan itu bukan saja berlaku setiap pagi tetapi sepanjang hari, sebahagiannya kerana terdapat beberapa sekolah di kawasan Tamparuli.

Advertisement
“Saya dapati penutupan Jambatan LLC Tamparuli sudah dilaksanakan sejak awal tahun namun belum ada sebarang kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.

“Selain penduduk Tamparuli, pengguna kenderaan dari Kiulu serta luar kawasan terpaksa menggunakan satu-satunya laluan di Jalan Tamparuli-Ranau untuk memasuki Pekan Tamparuli.

“Ini menyebabkan kesesakan lebih luas melibatkan arah dari Jalan Bantayan, Jalan Kiulu, Jalan Kampung Bawang  dan Tamparuli Point, lebih-lebih ketika ini jualan Ramadan yang banyak di sekitar Tamparuli,” ujarnya. 

Terdahulu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri  Wilfred Madius Tangau membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat, memohon Kementerian Kerja Raya (KKR) agar memberi keutamaan kepada penyelesaian sementara bagi menangani kesesakan lalu lintas di Pekan Tamparuli, khususnya ketika kerja pembinaan semula Jambatan Tamparuli sedang dilaksanakan.

Beliau mengemukakan perkara terbabit sebagai soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dengan menyatakan kesesakan di Jalan Tamparuli-Ranau semakin meruncing dan menjadi keluhan harian penduduk setempat.

“Kesesakan di jalan ini memang teruk. Inilah antara keluhan orang-orang di Tamparuli sekarang,” katanya dalam sesi Pertanyaan Lisan di sini, pada Khamis.

Madius turut mempersoalkan sama ada kajian trafik yang dibuat sebelum ini  mencerminkan keadaan semasa, atau sebaliknya, berikutan situasi di Tamparuli menunjukkan aliran trafik yang jauh lebih sesak setiap hari, terutama pada hujung minggu.

“Saya ingin bertanya adakah rancangan kerajaan untuk penyelesaian sementara bagi menyelesaikan kesesakan jalan raya ini, terutama sekali ketika jambatan Tamparuli masih ditutup dan sedang dibina semula,” kata Madius, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli.

Menjawab soalan berkenaan, Ahmad Maslan memaklumkan bahawa kajian terdahulu dibuat pada 2024 dan berdasarkan data stesen bancian HR207 di Laluan Persekutuan 22, Tahap Perkhidmatan Jalan (LOS) berada pada tahap A.

“LOS ini ada daripada A hingga F. F paling sibuk, A paling tidak sibuk. Berdasarkan semakan 2024, laluan tersebut (Jalan Tamparuli-Ranau)  berada pada tahap LOS A,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ahmad Maslan mengakui kajian baharu perlu dibuat bagi mendapatkan gambaran lebih tepat.

“Saya kira kajian baharu perlu dibuat supaya lebih terkini, saya akan mengarahkan JKR untuk membuat kajian terkini tahun ini bagi menilai LOS sebenar di jalan yang berkaitan di Pekan Tamparuli,” katanya.

Ahmad Maslan turut memaklumkan bahawa KKR akan berbincang dengan pihak trafik untuk mengenal pasti langkah seterusnya yang diambil termasuk penyelesaian jangka pendek.

Sehubungan itu, Madius berharap keutamaan segera diberikan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di Tamparuli sentiasa terpelihara sementara pembaikan jambatan baharu Tamparuli disiapkan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here