KENINGAU: Mahkamah Majistret memerintahkan tiga pengusaha premis hiburan di lokasi berasingan membayar denda keseluruhan RM14,000 kerana beroperasi tanpa lesen dan melebihi waktu yang dibenarkan.
Mereka ialah Melina Raymond, Yong Chun Min dan Roddy Saidin yang masing-masing mengaku bersalah di hadapan Majistret Flavian Edward Hendry pada Khamis.
Advertisement

Melina didenda RM8,000, manakala Yong dan Roddy masing-masing didenda RM3,000.
Melina didapati mengendalikan perniagaan hiburan di premis dikenali sebagai T-Use Cafe di Kampung Kota Binaong tanpa lesen hiburan daripada Majlis Daerah Keningau (MDK).
Kesalahan itu dikesan semasa serbuan Ops Noda yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau pada 18 Januari lalu kira-kira jam 12.10 tengah malam.
Yong pula didapati mengendalikan premis hiburan dikenali sebagai D’Conner di Kampung Bingkor, Jalan Bypass Bingkor tanpa lesen hiburan daripada MDK pada 27 Disember 2025 kira-kira jam 10.30 malam.
Sementara itu Roddy yang mengendalikan Auss Karaoke di Lot 59, Tingkat Bawah, Kompleks Membeli-Belah Pegalan didapati menjalankan aktiviti hiburan (karaoke) melebihi waktu yang dibenarkan oleh MDK pada 15 Disember 2025 kira-kira jam 2.40 pagi.
Ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958.
Melina tidak diwakili peguam manakala Yong dan Roddy diwakili peguam dari firma Chang & Daud.
Kesemua tertuduh telah membayar denda masing-masing.