SEMPORNA: Semua pihak disaran agar memahami realiti dan situasi sebenar yang dialami oleh pengusaha pelancongan tempatan sebelum membuat sebarang kenyataan atau tindakan.
Pengerusi Koperasi Pelancongan North Borneo Semporna Berhad Kerino Jalani mengulas berhubung isu tempat penginapan di Semporna yang kini menjadi perhatian umum, menegaskan pentingnya menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di peringkat pengusaha tempatan.
Kerino berkata, kenyataan bahawa tempat-tempat penginapan di Semporna diusahakan sepenuhnya oleh syarikat luar negara yang mana tidak seratus-peratus benar.
“Memang benar terdapat beberapa premis yang diwujudkan melalui usahasama dengan pelabur atau agen luar negara, namun pengurusan dan operasi harian tetap dilaksanakan oleh syarikat serta tenaga kerja tempatan.
“Peranan pelabur atau agen luar kebiasaannya tertumpu kepada penyediaan modal kewangan, perkongsian kepakaran dalam reka bentuk penginapan mengikut citarasa pelancong antarabangsa, serta bantuan pemasaran bagi menarik pelancong luar negara,” jelasnya.
Kerino, yang juga bekas pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (Puspabumi), kerjasama ini secara tidak langsung membantu memperkukuhkan kedudukan Semporna dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, seterusnya merancakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
Katanya, dalam realiti semasa kebanyakan pengusaha kecil dan sederhana berdepan kekangan modal untuk bersaing dengan pengusaha yang mempunyai jenama besar dan kedudukan kewangan yang kukuh.
“Proses permohonan bantuan kewangan daripada pihak kerajaan pula sering dilihat sebagai mencabar dan mengambil masa yang panjang.
“Keadaan ini mendorong sebahagian pengusaha tempatan untuk memilih kaedah usahasama bersama pelabur luar sebagai alternatif pembiayaan, di mana modal diperoleh dan pembayaran balik dibuat secara ansuran berdasarkan persetujuan bersama,” jelasnya.
Justeru itu, beliau berharap penyesuaian syarat modal berbayar (paid-up capital) dapat dilaksanakan bagi membantu lebih ramai pemain industri pelancongan di daerah ini.
Katanya, syarat modal berbayar RM250,000 bagi tujuan permohonan lesen Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memberi kesan kepada pengusaha kecil, khususnya yang memiliki kurang daripada lima unit penginapan.
“Kekangan ini secara tidak langsung menyumbang kepada kewujudan premis yang belum berlesen kerana ketidakmampuan memenuhi syarat modal tersebut.
“Kita memohon agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan semula kadar modal berbayar tersebut, khususnya bagi pengusaha kecil, dengan cadangan agar ia diselaraskan kepada kadar yang lebih sesuai seperti RM50,000 sebagaimana sebelum ini.
“Langkah ini diyakini dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha tempatan beroperasi secara sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Kerino, yang juga bekas Pegawai Pembangunan Masyarakat Sulabayan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dalam memastikan industri pelancongan di Semporna berkembang secara teratur, sah dan memberi manfaat kepada rakyat tempatan.