Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000, sebagai balasan memberikan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada sebuah syarikat kontraktor.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mempercayai suspek melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dengan menerima rasuah kira-kira RM3,000.
“Suspek disyaki menerima wang rasuah secara berperingkat iaitu dua transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun peribadinya dan juga akaun milik anaknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali jumlah atau nilai rasuah itu, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata suspek akan dilepaskan selepas keterangan diambil.