PAPAR: Penyaluran bekalan air terawat di kawasan Kawang serta Mukim Kinarut yang sebelum ini terjejas kini kembali stabil susulan pelaksanaan langkah intervensi sejak tiga minggu lalu.
Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata maklum balas diterima daripada warga Kampung Kawang mendapati bekalan air kini tidak lagi tertakluk kepada jadual catuan seperti sebelum ini.
Menurutnya kawasan terbabit berdepan gangguan bekalan air yang kritikal sebelum ini bermula penghujung Disember tahun lalu sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.
Katanya sejurus menerima aduan mengenai isu air itu beliau bersama wakil-wakil rakyat terlibat telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari kaedah intervensi segera.
“Langkah yang diputuskan adalah meningkatkan kapasiti rawatan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon sedia ada sebanyak 10 peratus atau empat juta liter sehari (JLH), melibatkan kerja menaik taraf pam dan saluran paip ke tangki utama P3 di Kampung Kawang.
“Kerja-kerja intervensi ini berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu dan kini menunjukkan hasil positif apabila bekalan air kembali stabil di seluruh Mukim Kinarut termasuk Kampung Kawang.
“Langkah ini merupakan penyelesaian jangka pendek sementara menunggu siapnya projek jangka panjang menerusi pengoperasian LRA Kogopon 2,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Armizan berkata projek LRA Kogopon 2 bakal menambah kapasiti rawatan sebanyak 40 JLH sekali gus menambah dan menstabilkan bekalan air di seluruhan Parlimen Papar serta kawasan utara Parlimen Kimanis dan selatan Parlimen Putatan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut bertekad akan terus memantau projek Naik Taraf LRA Kogopon 2 supaya dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.