RANAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berpendapat hala tuju negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bergantung kepada kejelasan matlamat, keutamaan dan penggunaan akal fikiran dalam pelaksanaanya.
Beliau berkata SMJ sering disalah tafsir dan tiada kaitan dengan projek tertentu.
“Ia adalah tema pembangunan iaitu garis panduan tentang hala tuju kemajuan yang perlu diambil.
‘Menerusi SMJ 2.0 yang telah dilancarkan elemen paling penting pada peringkat ini ialah menghayati serta memahami mesej yang terkandung dalam kerangka tersebut.
“Jika saya boleh rumuskan pada akhirnya semua bergantung kepada kecekapan dan pengurusan yang pantas,” katanya semasa sidang media pada majlis berbuka puasa bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau pada Sabtu.
Masidi berkata demikian bagi menjawab salah faham orang ramai berkaitan Pelan Pembangunan SMJ yang sudah memasuki fasa 2.0.
Beliau menekankan tiga elemen penting yang disifatkannya sebagai “tiga rasa” bagi memastikan pelaksanaan berkesan adalah rasa tujuan, rasa keutamaan dan akal fikiran.
Rasa tujuan jelasnya bermaksud memahami dengan jelas hala tuju serta matlamat yang ingin dicapai.
“Rasa keutamaan pula menuntut tindakan segera tanpa berlengah, melaksanakan apa yang boleh dilakukan hari ini tanpa menangguhkannya.
“Paling penting saya mengutamakan kepentingan akal fikiran iaitu semangat mengambil inisiatif tanpa perlu menunggu arahan.
“Selagi kita memahami hala tuju, tidak merumitkan pelaksanaan dan menggunakan akal fikiran dengan mengambil inisiatif tidak sepatutnya timbul masalah dalam melaksanakan SMJ 2.0,” tegasnya.
Dalam sidang media sama Masidi turut menyentuh situasi banjir semasa di Sabah yang disifatkannya antara yang terburuk di kawasan terjejas.
“Kita sedang berdepan apa yang saya anggap antara kejadian banjir paling buruk khususnya di kawasan terlibat.
“Berdasarkan imej di televisyen kita dapat lihat keadaan sangat serius, kompleks dan memberi kesan besar kepada penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata seperti yang dinyatakan Ketua Menteri, semua agensi Kerajaan Negeri telah digerakkan bagi membantu mangsa terjejas.
Keutamaan segera katanya adalah memastikan keselamatan dengan menyelamatkan penduduk kampung yang terjejas dan memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara.
Beliau turut memaklumkan kepentingan memastikan bekalan makanan mencukupi terutama apabila beberapa jalan dan talian komunikasi terputus.
Masidi turut menggesa pihak berkuasa di peringkat daerah agar mengambil langkah proaktif bagi memastikan tiada mangsa yang tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
Selain sokongan kerajaan beliau turut menggesa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta supaya bekerjasama dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Kita mesti berganding bahu membantu mereka yang terjejas akibat banjir besar ini,” katanya.