TAWAU: Projek pembangunan dua tanah perkuburan baharu di daerah ini diharap dapat disegerakan bagi memenuhi keperluan semasa sekali gus mampu menyelesaikan isu kesesakan Tanah Perkuburan Islamiah, Jalan Utara.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal berkata dua projek yang sedang berjalan ialah pembangunan Tanah Perkuburan Baradaya di kawasan Apas dan tanah perkuburan di Merotai yang turut dikenal pasti akan dibangunkan tidak lama lagi.
“Pembangunan tanah perkuburan ini memerlukan peruntukan yang agak besar namun alhamdulillah pada tahun lalu kita mendapat kerjasama baik daripada wakil-wakil rakyat di sekitar Tawau yang bersama-sama menyokong usaha Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk membangunkan kemudahan ini,”katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Gotong-Royong Perdana Kukusan 4.0 di Tanah Perkuburan Islam Jalan Utara baru-baru ini yang disertai hampir 600 orang daripada 40 agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).






