Kota Kinabalu: Sektor perniagaan Sabah dan beberapa kumpulan masyarakat sivil dilihat mempunyai pandangan berbeza berhubung cadangan penubuhan Konsulat India di negeri ini, dengan Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Dewan Perniagaan dan Industri India Labuan serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah antara pihak terbaharu yang menyambut baik langkah Kerajaan India itu.
Mereka berpendapat langkah tersebut mampu membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan negeri selain menjana hasil yang amat diperlukan bagi ekonomi tempatan.
Pengarah Hal Ehwal Komersial MCCC Sabah Brian Ho berkata, kehadiran tetap perwakilan diplomatik India di negeri ini akan meningkatkan kerjasama institusi dan hubungan perniagaan ke perniagaan (B2B), memudahkan proses pentadbiran serta mengukuhkan keyakinan pelabur dan pelancong berpotensi.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelancongan keluar dari India berkembang pesat, didorong peningkatan pendapatan boleh guna serta pertumbuhan golongan kelas pertengahan dan atasan. Beberapa destinasi serantau telah secara aktif menempatkan diri dalam pasaran India dan kini menikmati manfaat besar,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Sabah memiliki tarikan bertaraf antarabangsa termasuk Gunung Kinabalu, pulau-pulau, hutan hujan dan hidupan liar, tahap kesedaran pelancong India terhadap negeri ini masih rendah berbanding Bangkok, Singapura dan Dubai, sekali gus membuka peluang besar untuk diterokai.
Menurutnya, penubuhan konsulat itu juga boleh menyokong usaha memperluas jaringan penerbangan termasuk potensi memperkenalkan penerbangan terus antara India dan Sabah, yang disifatkannya sebagai faktor penting dalam meningkatkan ketibaan pelancong.
Selain pelancongan, katanya, peluang perdagangan antara Sabah dan India melangkaui eksport minyak sawit sedia ada, meliputi produk halal, pemprosesan agro, pendidikan, pelancongan perubatan, hospitaliti serta sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) yang mempunyai potensi pertumbuhan.
“Dalam konteks penyusunan semula rantaian bekalan global dan kepelbagaian ekonomi yang semakin meningkat, Sabah perlu mengambil pendekatan terbuka serta berpandangan jauh dalam meneroka pasaran baharu.
“Membina rangkaian perdagangan yang lebih luas dan berdaya tahan adalah penting bagi daya saing jangka panjang,” katanya.
Brian menambah strategi pembangunan Sabah tidak seharusnya bergantung kepada satu pasaran sahaja, sebaliknya negeri itu perlu mengukuhkan kerjasama pelbagai hala termasuk dengan China, India dan ekonomi lain.
Antara mereka yang membantah ialah Presiden Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Parti Warisan, sementara Institut Kajian Pembangunan Sabah, Menteri Sabah Datuk Rina Jainal dan Adun Dilantik merangkap Setiausaha Agung GRS Datuk Mohd Razali Razi menggesa kajian lanjut.
Cadangan penubuhan Konsulat India di Sabah dikemukakan Perdana Menteri India Narendra Modi kepada rakan sejawatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan rasmi beliau baru-baru ini.
Dewan Perniagaan dan Industri India Labuan terkejut terhadap pandangan tidak mesra segelintir pihak berhubung keputusan menubuhkan Konsulat India di Sabah.
Pengerusinya Datuk Dahlif Singh berkata kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak terbabit adalah berasaskan alasan tidak tepat serta dilihat berunsur berat sebelah.
Beliau berkata, India dijangka bakal menjadi ekonomi terbesar dunia dan kini hanya berada di belakang Amerika Syarikat dan China.
“Ini mampu membawa pelbagai faedah kepada Sabah dan harus dialu-alukan serta disokong. Jika tidak dikehendaki di Sabah, Sarawak akan merebut peluang tersebut,” katanya.
Dahlif berkata mereka yang menentang pelan ini mendakwa ia akan menjadi ancaman kepada imigresen Negeri, sedangkan ia sama sekali tiada kaitan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan konsulat dilihat kurang difahami oleh sesetengah pihak. Katanya, konsulat berfungsi membantu menyelesaikan urusan berkaitan warganegaranya serta mengeluarkan atau memperbaharui dokumen seperti visa dan pas, selain mengurus pelbagai perkara lain serta menyediakan maklumat berkaitan pengajian, perdagangan dan urusan dengan India.
“Ramai rakyat Sabah juga akan mendapat manfaat kerana tidak lagi perlu terbang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan di Suruhanjaya Tinggi. Malah, penduduk Sarawak juga akan menikmati kemudahan sama. Terdapat limpahan manfaat ekonomi di sini,” katanya.
Dahlif juga mendapati ia pelik mengapa pandangan negatif sedemikian tidak timbul apabila konsulat negara lain ditubuhkan sebelum ini.
Antara negara yang mempunyai konsulat di Sabah termasuk China, Jepun, Indonesia dan Republik Korea (Korea Selatan).