Kota Kinabalu: Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Sabah anjuran kerajaan negeri yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.
Orang ramai mula membanjiri lokasi majlis seawal jam 9 pagi bagi menyertai sambutan tahunan peringkat negeri itu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Ketibaan Tun Musa pada jam 11 pagi disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku diikuti persembahan tarian singa.
Suasana majlis bertambah meriah apabila Tun Musa dan Hajiji menyempurnakan gimik perasmian melalui pukulan gendang yang disambut sorakan serta tepukan gemuruh para tetamu.
Majlis turut diserikan dengan acara menggaul yee sang yang melambangkan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan selaras dengan semangat sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Sepanjang majlis berlangsung, tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian artis jemputan dan kumpulan tarian.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin; menteri-menteri Kabinet negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.