KOTA KINABALU: Barangan kelengkapan elektrik tanpa label keselamatan Sirim bernilai lebih RM300,000 dirampas oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) daripada dua premis di sini.
Serbuan yang julung kali itu dilaksanakan melibatkan 23 pegawai ECoS, dibantu oleh empat pegawai Sirim Berhad selaku Badan Penilaian Pematuhan yang diiktiraf oleh ECoS.
Operasi itu adalah bagi memastikan kelengkapan elektrik mematuhi keperluan perundangan di bawah Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (PPBE 2024). Ketua Pegawai Operasi ECoS Ir. Ts. Ridwan Saham berkata operasi itu dilaksanakan susulan pengeluaran Notis Larangan pada Disember 2025.
“Bagaimanapun, beberapa premis masih didapati ingkar mematuhi notis tersebut dan terus menjual kelengkapan elektrik yang tidak mematuhi kehendak perundangan.”
Seperti yang diperuntukkan di bawah subperaturan 110(2) PPBE 2024, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan menjual kelengkapan elektrik pengguna yang tidak mematuhi kehendak perundangan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“ECoS menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara serta memastikan semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Sabah,” kata Ridwan.