SEMPORNA: Kira-kira 66 pengguna di penempatan setinggan di Kampung Selamat, di sini, lega apabila bekalan elektrik mereka kini ‘rasmi dan halal’ menerusi projek perintis ‘centralize meter house’ oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SE).
Ini bermaksud sebahagian daripada mereka tidak lagi terpaksa mencuri elektrik, yang mana bukan sahaja berbahaya tetapi juga menyebabkan SE terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM220,000 setiap tahun.
Dani Kaising, 62, yang sudah menetap lebih 40 tahun di kampung itu melahirkan rasa syukur atas inisiatif SE berkenaan, dengan mengatakan ia menambah baik kualiti hidup mereka dengan ketara.
“Kami (penduduk kampung) menderita 35 tahun tiada lampu. Pakai generator (gen-set) saja.
“Malam-malam kena jaga minyak, enjin kadang rosak. Kos boleh mencecah RM15 satu malam (RM450 sebulan) dari jam 6 petang sampai subuh,” kata Dani yang mencari rezeki dengan menjual air terawat.
Bapa lima anak itu berkata meskipun kini terpaksa membayar bil elektrik sekitar RM300-RM400 sebulan namun tetap rasa berbaloi kerana kerana bekalan diperoleh 24 jam sehari dan lebih selamat.
“Sekarang murah dan senang hati. Pakai elektrik rasmi, (lebih) stabil,” katanya yang ditemui semasa pelancaran projek itu.
Dia berharap ia terus ditambah baik demi keselesaan serta kesejahteraan komuniti.
Seorang lagi penduduk, Abdul Muin, 67, berkata sebagai pengguna berdaftar, setiap isi rumah kini mempunyai meter rasmi masing-masing.
Abdul, yang menetap di kampung itu sejak 1981 berkata, pemasangan meter elektrik baharu memberi perubahan besar kepada kehidupan penduduk yang pada awalnya hanya 48 rumah sebelum berkembang pesat menjadi ratusan rumah.
Sebelum ini penduduk juga berdepan isu keselamatan apabila bekalan elektrik tidak menentu dan ramai yang menumpang bekalan memandangkan belum ada meter sendiri.
“Sekarang syukur Alhamdulillah, sudah ada meter. Lebih senang dan terang. Yang penting bekalan stabil dan halal,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini penduduk sentiasa hidup dalam kebimbangan bakal berdepan tindakan undang-undang atau kompaun kerana membuat sambungan haram.
“Dengan adanya pemasangan rasmi, risiko tersebut dapat dielakkan selain meningkatkan tahap keselamatan penduduk,” kata Abdul.
Mengenai kejadian kebakaran sebanyak tiga kali di kampung itu, Abdul menafikan insiden berlaku akibat sambungan elektrik haram dengan mengatakan mereka difahamkan kanak-kanak bermain api dipercayai menjadi punca kejadian itu.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif SE Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata projek perintis di Kg Selamat yang dibangunkan dengan kos sekitar RM266,000 itu merupakan langkah lebih holistik pihaknya bagi membendung kegiatan sambungan haram di kawasan penempatan setinggan.
Berjaya disiapkan pada 7 Ogos 2025 selepas setahun pembinaan, katanya, projek itu bertujuan untuk menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan sah kepada penghuni di kawasan penempatan setinggan sambil mengelakkan kehilangan hasil RM220,000 setahun.
“Skop projek termasuk pembinaan rumah meter, pembangunan infrastruktur bekalan elektrik dan penyusunan meter di satu lokasi yang sama.
“Buat masa ini, 66 pengguna berdaftar secara rasmi yang merupakan warga tempatan serta menikmati kadar tarif domestik sama seperti pengguna di kawasan lain,” katanya.
Mohd Yaakob berkata projek terbabit turut merekodkan penurunan jumlah gangguan bekalan gangguan daripada 87 kes (3.25 minit/ pengguna) pada 2024 kepada 32 kes (1.62 minit/ pengguna) pada 2025.
Dua lagi penempatan setinggan iaitu di Kampung Delima di Kota Kinabalu dan Kampung Boggaya di Sandakan telah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek serupa pada April.