Thu, 26 Mar 2026
Headlines:
Pembukaan Konsulat India di Sabah: Pemangkin pertumbuhan ekonomi
Published on: Thursday, February 12, 2026
Published on: Thu, Feb 12, 2026
By: Bernama
Text Size:
Text:
Pembukaan Konsulat India di Sabah: Pemangkin pertumbuhan ekonomi
Jain berkata pembukaan konsulat itu juga berpotensi meningkatkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) dari India ke Sabah dengan bertindak sebagai pemudah cara kepada ekosistem pelaburan yang lebih tersusun dan efisien.
Kota Kinabalu: Pembukaan Konsulat India di Kota Kinabalu, Sabah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri meskipun kesan langsungnya dijangka tidak berlaku serta-merta.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Dr Jain Yassin berkata walaupun India bukan rakan dagangan utama Sabah ketika ini, namun pembukaan konsulat itu mampu memperkukuh hubungan dua hala, seterusnya mengurangkan kos transaksi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Advertisement
“Secara langsung, kesannya mungkin tidak serta-merta besar kerana India bukan rakan utama Sabah. Tetapi ia boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi melalui hubungan baik yang boleh mengurangkan kos transaksi (pelaburan dan perdagangan) serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“Ini boleh juga berkembang melalui rangkaian perdagangan dan pelaburan melalui rakan dagangan India selain meningkatkan kepercayaan pelabur luar,” katanya kepada Bernama.

SPONSORED CONTENT
Kota Kinabalu: KOTA KINABALU: Fiesta Mega Raya (FMR) 2026 is set to be the largest and most prestigious Hari Raya celebration in Sabah, taking place from March 7 to 18, at the Sabah International Convention Centre (SICC), here.
Jain berkata pembukaan konsulat itu juga berpotensi meningkatkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) dari India ke Sabah dengan bertindak sebagai pemudah cara kepada ekosistem pelaburan yang lebih tersusun dan efisien.

“Konsulat boleh disifatkan sebagai pemboleh kepada ekosistem pelaburan yang lebih bersistem dan cepat. Dengan adanya konsulat, kefahaman berkenaan ekosistem ekonomi Sabah serta peluang pelaburan akan lebih baik seterusnya bakal menggalakkan kemasukan FDI,” katanya.

Advertisement
Mengulas sektor ekonomi yang dijangka menerima limpahan manfaat paling awal, Jain berkata sektor pelancongan dan hospitaliti berpotensi menikmati kesan segera susulan jangkaan peningkatan ketibaan pelawat dari India melalui promosi pakej pelancongan secara langsung.

Dari perspektif perdagangan pula, beliau berpandangan Sabah mempunyai kelebihan komparatif untuk menembusi pasaran India, khususnya melibatkan produk pertanian, hasil marin serta minyak sawit dan produk hilirannya.

Advertisement
Jain berkata hubungan ekonomi Sabah-India juga berpotensi menjadi nilai tambah kepada pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya dalam sektor ekonomi biru.

Dr Ramzah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Profesor Datuk Dr Ramzah Dambul berkata konsulat bukan mekanisme membenarkan kemasukan warga asing secara bebas atau tidak terkawal, sebaliknya berfungsi sebagai saluran rasmi menguruskan dokumentasi, perdagangan, pelaburan dan pelancongan dengan lebih sistematik.

Beliau berkata kewujudan konsulat juga mampu memperkemas tatakelola pergerakan keluar masuk serta meningkatkan pemantauan melalui saluran sah, berbanding menimbulkan risiko keselamatan seperti dibimbangi sesetengah pihak.

“Kita perlu faham apa itu konsulat. Fungsinya seperti kedutaan mini yang memudahkan urusan dokumentasi dan pelbagai fasilitasi formal lain. Bermaksud konsulat ini boleh membantu mengatur pergerakan keluar masuk supaya lebih sistematik,” katanya.

Ramzah berkata konsulat berperanan penting dalam mempromosikan Sabah dengan lebih berfokus kepada pasaran India memandangkan jumlah pelancong dari negara itu ke Malaysia tinggi namun peratusan yang memilih Sabah masih rendah.

Beliau berkata pada 2024 Malaysia menerima 1.13 juta pelancong dari India, namun disebabkan hanya sebahagian kecil ke Sabah, limpahan ekonomi ke negeri itu masih terbatas.

“Kewujudan konsulat India di Kota Kinabalu menjangkakan limpahan pelancong meningkat sehingga lima peratus, bermakna boleh cecah 30,000 hingga 45,000 orang setahun yang seterusnya berpotensi menjana RM100 juta ke dalam kitar ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata pembukaan konsulat India juga membawa makna simbolik yang besar, iaitu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kedudukan strategik Sabah sebagai nod penting di rantau Borneo dan Asean timur.

Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media bersama-sama Perdana Menteri India Narendra Modi menyatakan sokongan terhadap keputusan India untuk membuka konsulat baharu di Kota Kinabalu, sekali gus memperlihatkan hubungan Malaysia-India yang semakin kukuh.

Kedua-dua pemimpin menyatakan bahawa misi diplomatik baharu itu akan mengukuhkan lagi hubungan sesama rakyat, meningkatkan kerjasama ekonomi serta mempertingkatkan perkhidmatan konsular, khususnya di Malaysia Timur.

Penubuhan konsulat itu dijangka mempermudah urusan perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran kebudayaan, selain memperkukuh sokongan kepada komuniti India serta perniagaan yang beroperasi di Sabah dan wilayah sekitarnya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here