PENAMPANG: Jetama Sdn Bhd pada Rabu melancarkan dua projek solar utama di Sabah – sistem solar fotovoltaik terapung berkapasiti 13.21MWac di Empangan Babagon di sini dan ladang solar PV berkapasiti 15MWac di Batu Sapi, Sandakan.
Projek-projek ini bertujuan memperkukuh bekalan elektrik negeri melalui tenaga boleh diperbaharui.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, yang merasmikan pelancaran di Empangan Babagon, berkata kedua-dua projek itu secara bersama akan menambah 28MWac kapasiti penjanaan kuasa baharu, sekali gus membantu menstabilkan bekalan elektrik di Sabah.
“Saya amat gembira kerana salah satu projek terletak di Pantai Timur di Batu Sapi, kawasan yang sebelum ini dikenal pasti menghadapi cabaran bekalan elektrik,” katanya pada sidang media pada Rabu.
Masidi berkata projek berkenaan berbeza dari segi kos dan kerumitan teknikal, dengan projek Batu Sapi dianggarkan bernilai RM53 juta manakala sistem terapung di Babagon dianggarkan RM63 juta berikutan cabaran pembinaan tambahan di atas air.
Beliau menekankan kepentingan pengurusan dan tadbir urus yang baik bagi memastikan kelestarian jangka panjang.
“Keuntungan daripada penjanaan 13.2MW atau 15MW mungkin tidak besar, tetapi pengurusan berkesan memastikan kelestarian, melindungi kebajikan kakitangan dan membolehkan peluasan pada masa depan,” katanya.
Masidi menegaskan bahawa inisiatif ini bertujuan mengubah budaya kerja syarikat berkaitan kerajaan supaya beroperasi seperti perusahaan swasta yang menumpukan kepada kecekapan dan keuntungan.
Sambil memberi jaminan kepada komuniti setempat, beliau mengesahkan projek berkenaan tidak akan menjejaskan keselamatan air.
“Bagi penduduk kampung, walaupun pemasangan solar berada di atas air, ia tidak akan menjejaskan air minuman. Saya jamin ia selamat,” katanya.
Dengan penambahan ini, termasuk ladang solar 10MWac di Labuan, jumlah kapasiti solar Sabah melalui Jetama kini mencapai 38.2MW.
Masidi menggesa semua pihak berkepentingan mengutamakan pengurusan telus, keuntungan dan kelestarian bagi memastikan manfaat tenaga boleh baharu dapat dinikmati seluruh rakyat Sabah.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menggalakkan penerokaan kawasan berpotensi lain untuk pembangunan solar, tertakluk kepada kajian terperinci mengenai impak alam sekitar, kesesuaian tapak, keselamatan dan kos pelaksanaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Datuk Ahmad Naim Uddang berkata pelancaran dua projek solar itu menandakan pencapaian penting yang menunjukkan keupayaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan industri tempatan untuk menerajui inovasi tenaga boleh diperbaharui.
“Ini sambil menangani keperluan negeri, mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan sumber tenaga lestari.
“Inilah juga yang ingin dicapai Jetama melalui slogan kami, ‘Redefining Water and Energy’ – mentakrif semula peranan air dan tenaga secara lebih pintar, bersepadu dan mampan untuk generasi masa depan Sabah,” katanya.
Ahmad Naim berkata projek solar terapung di Empangan Babagon menggunakan secara strategik permukaan air takungan seluas 220 ekar untuk penjanaan tenaga, dengan susunan panel solar meliputi 40 ekar atau 20 peratus daripada takungan.
Projek itu merupakan yang pertama di Malaysia melaksanakan konsep “floating solar on potable water”, berbeza daripada pemasangan konvensional yang lazimnya dibina di kuari terbiar, tasik atau empangan hidro.
Menurutnya, Jetama telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd melalui konsortium Jetama Babagon Floating Solar Sdn Bhd dan Jetama Batu Sapi Solar Sdn Bhd pada 20 Ogos dan 27 Okt 2025. Dengan kapasiti 13.21MWac di Babagon dan 15MWac di Batu Sapi, jumlah penambahan tenaga baharu Jetama ialah 28.21MWac.
Digabungkan dengan ladang solar berskala besar di Labuan berkapasiti 10MWac, jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan solar Jetama kini mencecah 38.21MWac.
Ahmad Naim menegaskan projek-projek ini selaras dengan komitmen nasional Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Inisiatif ini juga menyokong agenda Sabah Maju Jaya serta Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (Se-Ramp 2040), selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG7, SDG9 dan SDG13.
Beliau merakamkan penghargaan kepada rakan strategik dan penyokong projek termasuk Sabah Development Bank Berhad, Ambank Malaysia Berhad, Sabah Electricity, Suruhanjaya Tenaga Sabah, Majlis Tenaga Sabah, Jesselton Solar Service Sdn Bhd, Evolute Asia Sdn Bhd, Silabumi Sdn Bhd, Jabatan Air Sabah serta Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah.
“Projek solar terapung Babagon boleh menjadi model terbaik bagaimana sinergi positif antara semua pihak berkepentingan, sama ada GLC atau agensi kerajaan, mampu memacu pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dan Sabah,” katanya.