TELUPID: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam memaklumkan masalah gangguan bekalan air di daerah ini bukan berpunca daripada kekurangan sumber air sebaliknya melibatkan kelemahan sistem agihan serta kebergantungan kepada generator set (genset).
“Hasil lawatan kerja ke beberapa kemudahan air di Telupid mendapati tekanan air rendah berlaku ekoran paip pengagihan sedia ada tidak mempunyai diameter mencukupi untuk menampung keperluan semasa.
“Air sebenarnya mencukupi tetapi sistem agihan yang menjadi masalah. Paip perlu ditambah diameter supaya tekanan air sampai ke rumah dan premis berada pada paras sepatutnya,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan operasi loji air yang terlalu bergantung kepada genset menyebabkan bekalan tidak konsisten khususnya apabila berlaku gangguan bekalan diesel atau akses jalan terputus.
Sehubungan itu kementeriannya akan berbincang dengan Sabah Electricity bagi mengkaji kemungkinan penyambungan terus ke grid elektrik sedia ada yang terletak kira-kira empat kilometer dari kawasan loji.
“Dalam jangka panjang sambungan ke grid lebih murah dan stabil berbanding kos penyelenggaraan genset,” katanya sambil menambah semua cadangan teknikal akan disemak dan dinilai sebelum dilaksanakan.
Dalam pada itu beliau turut menyatakan perbincangan lanjut bersama agensi berkaitan akan diadakan bagi memperincikan anggaran kos dan kaedah terbaik untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah bekalan air di kawasan terbabit.
“Kita akan cuba selesaikan semua isu yang dikenal pasti supaya rakyat mendapat bekalan air yang lebih konsisten dan berkualiti,” ujarnya.
Terdahulu dalam lawatan itu beliau meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Toniting, LRA Kampung Maau dan LRA Telupid.
Beliau turut merasmikan bangunan Pejabat Jabatan Kerja Raya Telupid yang baharu.