Kota Kinabalu: Belia Sabah menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pembukaan Konsulat India di negeri ini, menyebut isu keselamatan, kedaulatan negeri serta hak perlembagaan Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Ketua Bahagian Warisan Sepanggar Norazmi Alimat (gambar) berkata, Sabah sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia menikmati autonomi khas termasuk kuasa berkaitan imigresen dan keselamatan negeri.
Beliau berkata Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan memerlukan persetujuan Kerajaan Sabah bagi sebarang keputusan yang menjejaskan hak, kuasa atau kedudukan istimewa negeri.
“Penglibatan Kabinet Negeri Sabah atau Dewan Undangan Negeri adalah perlu.
“Walaupun hal ehwal luar negeri berada di bawah bidang kuasa persekutuan, pelaksanaan dasar sedemikian di Sabah mesti menghormati perlindungan perlembagaan negeri,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Norazmi turut menekankan cabaran berterusan di Sabah termasuk isu pendatang tanpa izin, keselamatan di kawasan Esszone serta tekanan sosial dan ekonomi terhadap komuniti tempatan.
Beliau berkata golongan belia bimbang keputusan yang dibuat tanpa perancangan rapi boleh menjejaskan peluang pekerjaan, keselamatan sosial serta masa depan generasi akan datang.
Katanya, manfaat konsulat tersebut kepada rakyat Sabah masih tidak jelas termasuk peluang pekerjaan tempatan, impak pelaburan sebenar serta langkah perlindungan bagi mengelakkan penyalahgunaan fungsi konsular.
Norazmi menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mendedahkan skop, fungsi serta implikasi cadangan itu, mengadakan rundingan awam secara menyeluruh termasuk melibatkan golongan belia, serta memberikan jaminan bertulis bahawa autonomi Sabah, kuasa imigresen dan keselamatan tidak akan terjejas.
Beliau menegaskan kebimbangan yang dibangkitkan rakyat Sabah adalah sah dalam kerangka demokrasi dan berlandaskan undang-undang.
“Rakyat Sabah tidak menentang hubungan antarabangsa atau diplomatik, namun sebarang keputusan besar melibatkan Sabah mesti dibuat melalui rundingan, ketelusan serta persetujuan Kerajaan Negeri selaras dengan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan dan semangat MA63,” katanya.