SANDAKAN: Kementerian Kerja Raya dan Utiliti memandang serius masalah bekalan air di Sandakan dan komited menangani isu tersebut.
Menterinya Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata penyelesaian akan dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan termasuk pendekatan di peringkat akar umbi dan bukan sekadar perancangan di atas kertas.
“Kami akan terus meneliti apakah masalah sebenar yang menyebabkan gangguan bekalan air di sini.
“Saya percaya bahawa penyelesaian berkesan hanya dapat dicapai melalui kerjasama kukuh antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal serta sokongan dan kefahaman masyarakat setempat,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Persembahan Tarian Naga, Qilin dan Singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Masyarakat Tionghwa Bersekutu Sandakan Sabah di Dewan Yu Yuan pada Sabtu.
Sebanyak 22 persatuan tarian naga, singa dan qilin menyertai acara tersebut.
Sementara itu bekalan air daripada Loji Rawatan Air Hilltop dan dua telaga berhampiran terus menyalurkan air kepada penduduk di kawasan bandar.
Dr Joachim menambah bahawa terdapat pelan lain yang sedang dirancang bagi memastikan bekalan air berterusan di Sandakan.
Mengenai acara tahunan persatuan tersebut yang telah diadakan sejak 1980 beliau berkata ia turut mencerminkan keharmonian dan keunikan kepelbagaian latar belakang budaya, kaum dan masyarakat di Sabah.