TAWAU: Polis menahan tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes merusuh dengan senjata selain ugutan jenayah berkaitan insiden yang dilaporkan berlaku di sebuah premis di Jalan Chong Thien Vun pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin mengesahkan kesemua suspek terdiri daripada lelaki warga tempatan yang ditahan untuk membantu siasatan membabitkan aduan seorang jurujual berumur 29 tahun.
“Pengadu mengaku didatangi seorang lelaki yang dikenali dan dua lelaki tidak dikenalinya semasa berada di dalam sebuah kedai kira-kira jam 9.20 malam sebelum dipukul dengan batang besi.
“Mangsa dipukul pada bahagian bahu sehingga menyebabkan dirinya menanggung kesakitan dan membawa kepada keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jasmin berkata berikutan aduan itu polis seterusnya menahan suspek pertama berusia 25 tahun di tepi lorong Perdana Jaya 5, Batu 3 Jalan Apas yang kemudiannya dikenalpasti turut bekerja sebagai jurujual seperti pengadu.
“Kita turut merampas satu batang besi sepanjang kira-kira 87 sentimeter dan satu bilah pisau pemotong yang dianggarkan berukuran 21 sentimeter panjang daripada suspek pertama”, katanya.
Mengulas lanjut tangkapan susulan terhadap suspek kedua pula melibatkan seorang peniaga, 34, kira-kira jam 1.45 petang pada Ahad di Pejabat Detektif Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
Jasmin menyatakan hasil pemeriksaan terhadap suspek kedua terbabit kemudiannya membawa kepada rampasan sebatang rotan panjang berukuran 53 sentimeter yang turut disyaki digunakan di dalam kes berkenaan.
“Suspek ketiga melibatkan seorang peniaga berumur 36 tahun yang ditahan kira-kira jam 2.20 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sharmizan Jalan Kinabutan Tiku, Batu 5 Jalan Apas.
“Ketiga-tiga suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan berkaitan aduan yang dilaporkan oleh pengadu termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian.
Polis menjalankan siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata di tempat awam dan Seksyen 506 Kanun sama membabitkan perbuatan ugutan jenayah.