Kota Kinabalu: Inisiatif Jualan Agro Madani Kerajaan Persekutuan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna yang mencari barangan runcit lebih murah, malah membantu petani menjual hasil mereka secara terus kepada orang ramai.
“Tujuan program ini adalah supaya petani boleh menjual terus ke pasaran tanpa orang tengah. Itulah matlamat kami,” kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin pada Jualan Agro Madani yang diadakan di pekarangan Dewan Serbaguna Damai, di sini, Ahad.
Beliau berkata inisiatif itu, yang merupakan penjenamaan semula program “Farm to Market”, membolehkan pekebun kecil memintas perantara dan berhubung terus dengan pelanggan sambil menawarkan penjimatan kepada orang ramai sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
“Setiap barangan yang dijual melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dijual pada harga kira-kira 30 peratus lebih rendah daripada pasaran. Pada asasnya bagi membantu meringankan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata agensi Persekutuan termasuk Fama, LPP dan LKIM membantu memudahcara jualan berkenaan dengan kementerian memperuntukkan RM30 juta di seluruh negara tahun ini bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Katanya, agensi berkenaan juga membantu petani yang menghadapi masalah lambakan hasil dengan membeli lebihan pengeluaran mereka.
“Jika anda mengusahakan pertanian dan tidak dapat menjual kerana lambakan, atau tiada tempat untuk menjual, anda boleh menghubungi Fama dan Fama akan datang membantu,” katanya.
Bagaimanapaun, beliau mengingatkan harga yang ditawarkan ketika situasi lambakan mungkin lebih rendah bergantung kepada keadaan pasaran.
“Sudah tentu mereka tidak dapat menawarkan harga yang sangat baik kerana harga sedang jatuh akibat lambakan. Di sinilah kerajaan melalui Fama, LPP dan LKIM campur tangan. Kita ada intervensi pasaran untuk membantu,” katanya.
Chan berkata LKIM memberi tumpuan kepada produk ikan, Fama mengendalikan hasil segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, manakala LPP menawarkan rangkaian lebih luas termasuk beras.
Beliau berkata program jualan seumpama itu diadakan setiap minggu di seluruh Malaysia namun tidak boleh dijalankan secara berterusan di satu lokasi.
“Kami tidak mahu terlalu mengganggu. Setiap penjaja, setiap pemilik gerai mempunyai pasaran dan perniagaan sendiri. Jadi program seperti ini tidak boleh diadakan sepanjang bulan,” katanya.
Program terbabit juga ditempatkan secara strategik jauh daripada pasar utama seperti Jalan Gaya dan Pasar Besar Kota Kinabalu bagi mengelakkan gangguan kepada peniaga sedia ada.
“Sebelum tahun baharu di Kota Kinabalu, saya meminta Fama mengadakannya di kawasan ini kerana tidak terlalu dekat dengan pasar seperti di Likas dan pusat bandar, supaya kita tidak mengganggu ekosistem,” katanya.
Beliau menambah Jumaat lalu beliau melancarkan program Jualan Agro Madani yang lebih besar di Putrajaya sebelum kembali ke Sabah bagi program di Luyang.
Selain itu, katanya, kerajaan Persekutuan dan Negeri bekerjasama rapat memastikan pembangunan, dengan peruntukan RM84 juta daripada Persekutuan tahun ini untuk menyokong 51 projek pembangunan berkaitan pertanian di negeri ini.
Turut hadir Pengarah Fama Sabah dan Labuan Sebastian Chew.