Kota Kinabalu: Seorang suami dan rakannya didakwa secara berasingan atas tuduhan mencabul isterinya, di Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Lelaki berusia 35 tahun dan bekerja sendiri itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan atas pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh didakwa bersubahat dengan Mohd Shahir Ibrahim, 32, melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 38 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Tuaran pada 23 Januari lalu kira-kira jam 5.45 pagi.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mohd Shahir turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memasukkan jarinya ke bahagian sulit wanita itu di tempat dan masa sama.
Mahkamah menetapkan 4 Mac ini sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan dan menolak permohonan jaminan bagi kedua-dua tertuduh setelah bantahan oleh pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon tiada jaminan diberikan kerana mangsa adalah isteri lelaki berkenaan dan mereka tinggal di rumah yang sama manakala Mohd Shahir tinggal berhampiran kawasan tersebut serta berisiko mengganggu saksi.
Dalam permohonan jaminan lelaki itu berkata dirinya perlu menjaga anak-anak dan mendakwa laporan dibuat oleh isterinya kerana ingin bercerai.
Mohd Shahir pula menegaskan dia tidak tinggal di kawasan sama dan tidak melakukan kesalahan itu.
Mahkamah menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya mendapatkan peguam untuk mewakili mereka sepanjang prosiding kes terbabit.