Majlis Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus giat menjaga kebersihan di Kampung (kg) Warisan dan Taman Puri Warisan iaitu dua kawasan yang merekodkan kes denggi tinggi.
Kg Warisan Fasa 1 menduduki tempat teratas dalam senarai 13 kawasan “hotspot” denggi di Kota Kinabalu bagi minggu bermula 2 Februari menurut Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu (PKKKK). Kawasan lain termasuk Taman Kepayan Ridge, Kg Likas, Taman BPL, Inanam Laut, Taman Kuala Manggatal Fasa 3 dan beberapa lagi.
Seorang jurucakap Jabatan Kesihatan Persekitaran (EHD) berkata sehingga Isnin seramai 25 penduduk Kg Warisan Fasa 1 dijangkiti denggi manakala Kg Rampayan Laut mencatatkan empat kes.

“Susulan situasi kesihatan yang memburuk, kami menumpukan operasi terhadap mereka yang menimbun sampah di luar pagar rumah di Kg Warisan atau kawasan komuniti berdekatan di Taman Puri Warisan.
“Objek terbuang ini berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.
Operasi Anti-Denggi Bersepadu dijalankan dua Ahad berturut-turut melibatkan warga kampung dan penghuni flat yang gagal menjaga kebersihan kawasan masing-masing. Penduduk diberi tempoh masa untuk membersihkan kawasan di tepi rumah mereka.
“Gagal mematuhi boleh mengakibatkan tindakan undang-undang mengikut Perintah Kerajaan Tempatan (Pindaan 2000) dengan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan,” kata jurucakap berkenaan.

Bagi penghuni flat pihaknya memohon Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar Sabah mengambil peranan lebih aktif menjaga kebersihan kawasan awam antara blok.
Operasi melibatkan anggota EHD, PKKKK, DBKK (Pengurusan Sisa Pepejal, Landskap dan Penguatkuasaan) serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat. Seramai 46 anggota bersama penduduk mengadakan gotong-royong membersihkan Kg Warisan dan Taman Puri Warisan.
Dua lori terbuka disediakan untuk mengangkut barangan terbuang dan sebuah tong ‘roll-on-roll-off (RORO)’ diletakkan bagi memudahkan pembuangan. Pegawai PKKKK bekerjasama dengan rakan EHD untuk menyingkirkan mana-mana objek yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Kg Warisan Fasa 1 telah diisytiharkan sebagai “hotspot” denggi. Kawasan dianggap “hotspot” jika kes terus berlaku melepasi 30 hari.

Wabak dikesan apabila dua atau lebih kes dilaporkan dalam radius 200 meter dan dikategorikan sebagai “wabak tidak terkawal” jika kes baru terus berlaku.
Tiada sampel larva diambil semasa operasi namun sebarang sampel positif akan dikenakan kompaun sehingga RM500 di bawah Akta Serangga Pembawa Penyakit 1975.