Kota Kinabalu: Seorang ibu tampil menyumbangkan sebuah sistem pengesan vena, model AccuVein AV500 (Amerika Syarikat), kepada Unit Rawatan Rapi (ICU) kanak-kanak Hospital Likas sebagai tanda penghargaan serta bagi membantu kanak-kanak lain yang memerlukan.
Anak-anak kembarnya sebelum ini menerima rawatan di hospital berkenaan dan mengalami kesukaran semasa prosedur pengambilan darah berikutan urat darah yang halus, sekali gus menyukarkan jururawat mengenal pasti lokasi vena.
“Sebagai seorang ibu, saya berasa sedih dan tertekan melihat bayi saya dicucuk berulang kali tetapi tidak berjaya. Sangat menyayat hati mendengar mereka menangis,” kata Noorfarini binti Ag Salleh, 36.
Selepas berbincang dengan jururawat, dia dimaklumkan bahawa sebuah mesin khas amat diperlukan bagi membantu mengesan vena bayi dengan lebih tepat.






