KUDAT: Seramai 56 pelajar tingkatan empat dan lima aliran Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk berpeluang mendekati bidang kejuruteraan minyak dan gas (O&G) menerusi penganjuran Program STEM Awareness: Next Gen Oil and Gas yang berlangsung di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif STI 1003 iaitu usaha bersepadu yang menggalakkan penyertaan aktif 100 saintis tempatan bersama 100 sekolah dalam tempoh 100 hari bagi setiap kitaran pelaksanaan ke arah memperluas pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan pelajar.
Pengisian program dimulakan dengan aktiviti interaktif Energy Quest yang bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran lebih santai dan mesra antara peserta serta fasilitator.
Ketua Program Kejuruteraan Minyak dan Gas UMS Dr Norfazliana Abdullah berkata pendedahan awal kepada bidang tersebut penting bagi membantu pelajar memahami skop pengajian, peluang pembelajaran serta potensi kerjaya dalam industri tenaga yang semakin berkembang.
“Bidang kejuruteraan minyak dan gas bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara malah membuka ruang kepada inovasi dan penyelesaian kejuruteraan yang lestari.
“Program seperti ini dapat mencetus minat pelajar untuk meneroka bidang STEM secara lebih serius,” katanya.
Antara pengisian utama ialah Pertandingan Inovasi Enhanced Oil Recovery (EOR) yang menguji kreativiti serta pemikiran kritis pelajar dalam memahami konsep asas peningkatan pengeluaran minyak melalui pendekatan inovatif dan lestari.
Aktiviti tersebut turut mendedahkan peserta kepada aplikasi penyelesaian kejuruteraan sebenar yang digunakan dalam industri.