Kota Kinabalu: Sebanyak 160 persatuan akan menyertai persembahan tarian singa dan naga sempena Karnival Tahun Baru Cina 2026 di Lintasan Deasoka bermula 9 Februari ini.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah Tan Sri Dr Goh Tian Chuan berkata sepanjang tiga malam karnival tersebut berlangsung, pengunjung berpeluang menikmati aktiviti interaktif dan persembahan seni yang memaparkan adat resam masyarakat Tionghua.
“Karnival kali ini juga terbuka kepada semua masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama di bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah.
“Ia akan melibatkan penyertaan belia pelbagai kaum antaranya Tionghua, Dusun Kadazan dan Murut.
“Ini memberi gambaran tentang kesederhanaan, kemesraan dan keharmonian di Sabah tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya ketika ditemui media selepas ditemubual di Sabah VFM pada Selasa.
Beliau juga memaklumkan majlis pembukaan karnival akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Dianggarkan 300 gerai jualan akan dibuka di sepanjang Jalan Gaya yang akan menampilkan pelbagai makanan tradisi Tionghua selain barangan kraftangan dan produk tempatan.