SANDAKAN: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Chong Thien Ming mengecam Jabatan Kerja Raya (JKR) Sandakan kerana terus mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya, menuduh jabatan itu “tuli” terhadap aduan berulang mengenai tumbuhan liar yang terlalu subur di sepanjang tebing jalan sehingga menghalang aliran air hujan ke dalam sistem perparitan.
Chong berkata aduan telah dibuat sejak tahun lalu namun tiada tindakan diambil untuk membersihkan tumbuhan tersebut.
Beliau melahirkan kebimbangan serius kerana Sandakan dilanda hujan lebat berterusan sepanjang minggu lalu yang mengakibatkan banjir kilat membimbangkan di beberapa kawasan termasuk Batu Sapi dan Batu 16.
“Sebagai ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) saya sendiri menerima aduan orang ramai dan telah membangkitkan isu ini berulang kali dalam mesyuarat bulanan majlis sejak tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Walaupun kerja-kerja garisan jalan akhirnya dilaksanakan selepas isu itu diketengahkan namun masalah utama perparitan masih tidak diselesaikan.
Chong menjelaskan bahawa Lintas Utara yang merentasi dari BDC hingga Batu 7 melalui Bandar Prima dan Bandar Nasalim merupakan laluan trafik tinggi yang digunakan setiap hari oleh penduduk.
Semasa hujan lebat air bertakung di sepanjang tepi jalan kerana air hujan tidak dapat mengalir ke dalam longkang akibat tumbuhan yang tidak dibersihkan.
Beliau menambah bahawa banyak lubang jalan telah muncul di sepanjang laluan itu seterusnya membahayakan pemandu. Lubang-lubang ini sering tersembunyi di bawah air bertakung, menimbulkan risiko serius terutama pada waktu malam dan ketika hujan.
Chong turut membangkitkan keadaan lampu jalan yang buruk di sepanjang Lintas Utara.
“Mengenai lampu jalan juga saya tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada Presiden MPS tentang risiko yang dihadapi pemandu ketika memandu pada waktu malam,” katanya.
Beliau berkata kerja pembaikan lampu jalan sedang dijalankan secara berperingkat namun kemajuannya terjejas akibat vandalisme serius khususnya kerosakan pada pendawaian bawah tanah di sepanjang Lintas Utara.
“Gabungan masalah perparitan yang teruk, lubang jalan dan pencahayaan yang tidak mencukupi telah menyebabkan banyak kemalangan berlaku di sepanjang laluan ini,” tegas Chong sambil mempersoalkan mengapa kerja penyelenggaraan asas sebegini diabaikan.
“Membersihkan tumbuhan liar, menampal lubang jalan dan memastikan lampu jalan berfungsi dengan baik bukanlah pembinaan jalan atau pembangunan infrastruktur; ia hanyalah penyelenggaraan asas. Mengapa begitu sukar untuk dilaksanakan?” soalnya.
Chong menambah bahawa keadaan ini bukan sahaja membahayakan pemandu tetapi turut mencacatkan pemandangan bagi pengguna jalan raya di Lintas Utara dan Jalan Persekutuan sekali gus menjejaskan imej Sandakan terutama ketika pelancong semakin banyak berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
Beliau menggesa JKR Sandakan supaya bertindak lebih bertanggungjawab dengan menekankan bahawa isu ini melibatkan keselamatan awam dan nyawa manusia.
“Ini soal hidup dan mati. Sudah tiba masanya kita bekerjasama untuk mencantikkan Sandakan dan memastikan keselamatan rakyat melalui kerjasama erat antara semua agensi berkaitan,” katanya.