TAWAU: Seorang lelaki yang diburu polis atas kes penipuan berhasil ditangkap selepas dilaporkan mengamuk dan mengancam orang kampung di kawasan Kg Hidayat Batu 4 Jalan Apas di sini, awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditangkap oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Anggota MPV kita menerima panggilan kecemasan dari Pusat Kawalan Daerah kira-kira jam 9.30 pagi berhubung perbuatan seorang lelaki yang dilaporkan berkelakuan agresif di penempatan terbabit,” katanya.
Jasmin berkata lelaki itu ditahan sepasukan anggota peronda dengan bantuan dua lagi tim MPV sebelum dikenalpasti sebagai orang dikehendaki berkaitan kes tipu yang dilaporkan di Putatan pada tahun lepas.
Pemeriksaan susulan yang dijalankan oleh polis turut mengesyaki suspek juga memiliki peralatan berbahaya yang digunakan semasa kejadian dirinya dilaporkan mengamuk dan mengancam orang kampung.
“Antara yang berjaya dikesan dan dirampas daripada suspek dalam pemeriksaan berkenaan termasuklah pemutar skru, bilah pisau pemotong kertas, bilah gunting dan sebatang besi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata suspek termasuk barang rampasan dibawa kepada IPD Tawau untuk tindakan, dengan siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 akta yang sama.
Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak sendiri sekiranya berhadapan orang yang agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera menghubungi polis untuk membolehkan tindakan segera dilaksanakan.