Kota Kinabalu: Sabah mengalu-alukan kehadiran pelabur antarabangsa yang berwibawa dan berkeupayaan membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga, minyak dan gas negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Kerajaan Negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga serta minyak dan gas.
Advertisement

“Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama mesti memberi manfaat jangka panjang kepada negeri dan rakyat Sabah,” katanya semasa menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips, Ryan Lance, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.
Lance berkata ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak terkemuka dari Amerika Syarikat dan pemain bebas terbesar dunia dalam penerokaan serta pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai wilayah strategik global.
Beliau berkata ConocoPhillips kini memberi tumpuan kepada pelaburan di Sabah, selari dengan usaha memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap Malaysia.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dalam membangunkan industri minyak dan gas di Sabah dan yakin sektor ini mempunyai masa depan yang sangat cerah untuk pertumbuhan negeri,” kata Lance, menambah lawatan tersebut merupakan kunjungan pertamanya ke Sabah.
ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah, susulan pemindahan operasi daripada Petronas yang berkuat kuasa pada 21 Januari 2025.