Kundasang: Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) telah mengadakan retret selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Januari di Hotel Perkasa bagi membincangkan serta memperhalusi halatuju kementerian bagi tahun 2026 selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Mojungki berkata retret berkenaan memberi tumpuan kepada perancangan strategik termasuk inisiatif dan program keutamaan bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menurut beliau perbincangan menyeluruh itu merangkumi aspek pemerkasaan wanita, peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan serta pengukuhan jaringan kebajikan sosial bagi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan memberi impak langsung kepada rakyat.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri KWKKR Rina Jainal, Setiausaha Tetap KWKKR Maria Chong, pegawai kanan kementerian serta ketua dan wakil jabatan serta agensi berkaitan.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Hal Ehwal Wanita, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Retret itu turut menampilkan sesi syarahan khas oleh Datuk Dr Ramzah Dambul dari Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang menyentuh isu pembangunan wanita termasuk pemerkasaan ekonomi, peningkatan keupayaan kepimpinan, pendidikan dan kesejahteraan keluarga.