KINABATANGAN: Aduan mengenai pengagihan bantuan kerajaan secara terpilih kekal menjadi kebimbangan utama penduduk di Lamag dengan tuntutan ke arah sistem lebih adil dan telus semakin menonjol sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil.
Calon Warisan bagi Lamag Mazliwati Abd Malek Chua berkata rungutan mengenai apa yang disifatkan sebagai “bantuan pilih kasih” kerap dibangkitkan dalam pertemuanya dengan penduduk khususnya di kawasan luar bandar yang amat bergantung kepada bantuan kerajaan.
Menurut Mazliwati amalan pengagihan bantuan secara terpilih sering berlaku apabila permohonan terlalu banyak perantara sekali gus membuka ruang kepada pilih kasih dan pengecualian.
“Banyak masalah bermula apabila bantuan terpaksa melalui terlalu banyak lapisan.
“Apabila sampai ke peringkat kepimpinan keputusan mungkin sudah dipengaruhi oleh siapa yang dikenali,” katanya.
Bagi menangani isu itu Mazliwati berkata jika diberi mandat beliau merancang memperkenalkan mekanisme pelaporan dan aduan secara langsung yang membolehkan penduduk mengemukakan permohonan serta rungutan terus kepada wakil rakyat tanpa melalui orang tengah sekali gus membolehkan penjejakan kes dilakukan dengan lebih jelas.
Beliau berkata setiap permohonan bantuan perlu didokumenkan, disahkan dan dipantau secara telus.
“Ketiadaan saluran jelas juga menyebabkan ramai penduduk berasa terpinggir atau tidak dipedulikan.
“Aduan berkaitan bantuan perumahan antara isu paling sensitif yang dibangkitkan penduduk termasuk kes melibatkan kampung terjejas sepenuhnya akibat kebakaran namun pengagihan bantuan didakwa tidak seimbang.
“Dalam keadaan sebegini penduduk sudah pun berada dalam situasi terdedah. Apabila bantuan dilihat bersifat pilih kasih ia hanya menambah kekecewaan dan rasa tidak percaya,” katanya.
Beliau menambah kebimbangan sama turut dibangkitkan berkaitan isu tanah khususnya melibatkan penduduk yang dipindahkan tetapi kemudianya berdepan ketidakjelasan mengenai penempatan semula atau sokongan susulan.
Mazliwati menegaskan bahawa penyelesaian isu berkenaan bukan sekadar meningkatkan peruntukan sebaliknya memastikan bantuan diagihkan secara adil dan berasaskan keperluan sebenar.
Beliau berkata seorang wakil rakyat yang dipilih mempunyai tanggungjawab mewakili semua penduduk bukan hanya penyokong dan pemulihan keyakinan terhadap sistem pengagihan bantuan adalah penting bagi membina semula kepercayaan di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu Mazliwati menyatakan tanggapan bahawa hanya wakil rakyat yang sehaluan dengan kerajaan mampu membantu penduduk adalah tidak tepat sambil menegaskan tugas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ialah membawa isu rakyat kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang perananya tetap sama iaitu menyuarakan suara rakyat dan mengusahakan penyelesaian kes mereka dengan jabatan terlibat.
“Jika wakil rakyat benar-benar serius menangani kes yang dibangkitkan rakyat dan terus mendesaknya bantuan masih boleh disalurkan,” katanya menambah penduduk tidak seharusnya merasakan aduan mereka akan diabaikan hanya kerana wakil rakyat mereka berada di pihak pembangkang.