Kota Kinabalu: Seminar Hapkido kebangsaan pertama yang diadakan di negeri ini, melibatkan kira-kira 80 peserta termasuk 10 dari Brunei, berjaya dianjurkan dan berakhir di Kompleks Belia dan Sukan Putatan pada Ahad.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan memuji usaha penganjur dalam menjayakan program berkenaan.
Tegasnya inisiatif seumpama itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam memupuk pembangunan belia secara holistik menerusi sukan dan seni mempertahankan diri.
“Seni mempertahankan diri bukan sahaja berperanan meningkatkan kecergasan fizikal malah turut membentuk disiplin, sahsiah, kepimpinan dan jati diri dalam kalangan belia,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Majlis Sukan Sabah, Heirwan Shah Masari.
Pengerusi penganjur Master Bernardo Vivero yang menerajui Persekutuan Seni Pertahanan Diri Hapkido Dunia (WHMAF) Sabah serta mewakili Hapkido Malaysia di Sabah berkata penyertaan memberangsangkan termasuk peserta dari Brunei membuktikan perkembangan positif Hapkido di rantau ini.
Beliau menambah kehadiran jurulatih berprofil tinggi dari WHMAF, termasuk Grandmaster V Yoyok Suryadi (Pengarah Permainan dan Pertandingan), Leonardo Kentjana (Ketua Pengadil Hapkido Indonesia) dan Master Pow Yin Khong (Ketua Jurulatih Hapkido Brunei Darussalam) sepanjang program dua hari itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai piawaian latihan, teknik serta sistem penilaian bertaraf antarabangsa.
Beliau berharap kejayaan seminar sulung itu akan membuka laluan kepada penganjuran lebih banyak program latihan dan kejohanan pada masa hadapan.