KINABATANGAN: Projek infrastruktur asas yang tertangguh sejak sekian lama, khususnya pembinaan sekolah, klinik kesihatan dan sistem bekalan air, perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan kesusahan berpanjangan yang dihadapi komuniti luar bandar di Kinabatangan.
Calon Parlimen Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata penduduk berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai projek yang diumumkan bertahun-tahun lalu namun masih gagal dilaksanakan, menyebabkan komuniti setempat terus terpinggir daripada perkhidmatan asas.
Beliau berkata antara isu paling mendesak ialah ketiadaan sekolah menengah di Kampung Paris, Sukau, biarpun dengan cadangan dan peruntukan berulang kali sejak beberapa tahun lalu.
“Penduduk di sini telah bercakap mengenai sekolah menengah selama beberapa dekad. Peruntukan sering disebut, tetapi sehingga hari ini sekolah itu tidak wujud,” katanya sambil menambah penduduk secara sinis merujuknya sebagai “sekolah hantu” berikutan kelewatan berpanjangan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tindakan yang diambil berhubung isu-isu berkenaan walaupun pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama beberapa penggal.
Menurut Saddi, ketiadaan sekolah menengah memaksa pelajar bergantung kepada kemudahan terhad atau berulang-alik jauh untuk meneruskan persekolahan, sekali gus menambah beban keluarga luar bandar.
Beliau berkata masalah sama turut berlaku di kawasan lain di Kinabatangan, apabila pembinaan sekolah menengah telah dimulakan tetapi kemajuannya perlahan dan tiada garis masa jelas untuk disiapkan.
“Walaupun tanah telah dikenal pasti dan kerja persediaan dimulakan, kadar pembinaan sangat perlahan. Penduduk tidak tahu bila sekolah itu akan siap sepenuhnya,” katanya.
Saddi berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan ke Kampung Paris dalam rangka kempen Warisan di Kinabatangan, yang turut dihadiri Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pada Jumaat.
Beliau berkata prasarana kesihatan juga menjadi kebimbangan utama, khususnya di Batu Putih, di mana penduduk masih bergantung kepada kemudahan, yang disifatkannya, lebih menyerupai perkhidmatan asas peringkat kampung berbanding sebuah klinik kesihatan lengkap.
“Klinik di Batu Putih sudah bertahun-tahun tidak dinaik taraf. Tanah telah disediakan, tetapi pihak berkuasa kesihatan masih gagal membina klinik yang memenuhi piawaian semasa,” katanya.
Beliau menambah penduduk sering meluahkan kekecewaan terhadap ketiadaan kemajuan, sedangkan keperluan kesihatan di kawasan itu semakin meningkat.
Isu bekalan air, katanya, kekal sebagai rungutan lama di Kampung Paris dan kampung sekitar, walaupun infrastruktur seperti paip telah dipasang.
“Terdapat paip di sepanjang jalan, tetapi air tidak mengalir. Projek bernilai jutaan ringgit diumumkan, namun sehingga kini air masih tiada,” katanya sambil mempersoalkan kegagalan pelaksanaan.
Saddi berkata masalah itu bukan gangguan sementara, sebaliknya berlarutan selama bertahun-tahun sehingga memaksa penduduk bergantung kepada bekalan air menggunakan tangki yang dibawa dari luar.
“Malah hari ini, semasa program kita di sini, rumah tempat program diadakan juga tidak mempunyai bekalan air. Air terpaksa dibawa menggunakan tangki yang disewa atau dibeli semata-mata untuk membolehkan program berlangsung,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu mencerminkan isu lebih besar berkaitan projek terbengkalai atau dilaksanakan secara lemah di kawasan luar bandar Kinabatangan, menyebabkan penduduk terus hidup tanpa akses bekalan air yang stabil, jalan raya yang baik dan bekalan elektrik yang konsisten.
“Kita sudah berada dalam era milenium, tetapi komuniti luar bandar masih berdepan jalan berlubang, bekalan elektrik tidak menentu dan ketiadaan air bersih,” katanya.
Menurut Saddi, kelemahan ini menuntut kepimpinan baharu yang benar-benar mengutamakan penyelesaian projek asas yang tertangguh dan terbengkalai.
“Jika keperluan asas seperti air, sekolah dan klinik pun tidak dapat diselesaikan, bila rakyat boleh benar-benar menikmati hasil pembangunan?” katanya.
Beliau berkata sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, tumpuannya adalah memastikan keperluan infrastruktur asas diselesaikan tanpa kelewatan lanjut.
“Ini adalah keperluan asas. Ia sepatutnya telah lama diselesaikan. Inilah yang akan saya utamakan jika diberi mandat,” katanya.